Indonesia minta Msia jangan hantar pulang pekerja bersih
Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Erman Suparno meminta Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melakukan pemutihan terhadap pekerja asing yang bekerja di negara itu sebelum mereka dihantar pulang.
Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Erman Suparno meminta Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melakukan pemutihan terhadap pekerja asing yang bekerja di negara itu sebelum mereka dihantar pulang.
"Perlu ada klasifikasi antara tenaga kerja asing yang terlibat jenayah dengan yang tidak terlibat," katanya seperti yang dilaporkan oleh Tempo semalam.
Kerajaan Malaysia merancang menghantar pulang 500,000 pekerja asing termasuk dari Indonesia dengan alasan mengurangkan kadar jenayah yang dilakukan pekerja dengan sebahagian besarnya yang bekerja secara haram.
Erman berkata, pekerja yang tidak terlibat jenayah perlu dilengkapkan dengan dokumen sehingga menjadi pekerja sah dan tidak dihantar pulang.
Katanya, beliau akan menemui Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad akhir bulan ini bagi membincangkan perkara tersebut.
"Saya akan berangkat ke Malaysia pada 29 hingga 30 Mac ini," katanya sambil menambah supaya rancangan menghantar pulang pekerja asing haram dapat dibincangkan lebih mendalam.
Rang undang-undang pekerja
Pertemuan tersebut merupakan cadangan Abdullah agar rancangan penghantaran balik pekerja asing dari Malaysia boleh dibincangkan secara lebih mendalam antara dua negara berkenaan.
Mengenai Rancangan Undang-undang Tenaga Kerja Asing yang akan dijalankan di Malaysia, Erman berkata, rancangan tersebut masih merupakan satu rancangan dan belum sampai tahap perbincangan.
"Saya sudah bertemu empat mata dengan Perdana Menteri Malaysia, ternyata masih berupa perbincangan,"
katanya.
Dalam pertemuan itu, katanya, beliau telah menyatakan bahwa Indonesia tidak akan mencampuri soal undang-undang itu.
"Saya katakan bahwa kita tidak akan mencampuri hak kedaulatan dalam membuat undang-undang suatu negara," katanya.
Namun, beliau meminta Perdana Menteri Malaysia supaya undang-undang tersebut tidak mengorbankan hak asasi pekerja.
Sementara itu, Tempo melaporkan Migran Care, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan masalah buruh asing akan membawa masalah rang undang-undang pekerja asing di Malaysia dalam sidang Dewan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva, Selasa ini.
Pegawai Migrant Care, Wahyu Susilo, berkata, rancangan itu akan membataskan pergerakan pekerja asing, termasuk buruh Indonesia di Malaysia.
Cabul hak asasi manusia
"Peraturan itu mencabuli hak asasi manusia. Padahal, Malaysia juga menjadi anggota Dewan Hak Asasi Manusia PBB," katanya.
Menurut Wahyu, buruh asing akan ditempatkan dalam satu kawasan berhampiran tempat bekerja.
Katanya, selain itu buruh asing juga dilarang memasuki kota malah dipantau oleh pasukan polis.
"Dalam pertemuan Presiden Yudhoyono dengan Abdullah minggu lalu ia tidak membincangkan masalah pekerja sedang jumlah pekerja Indonesia cukup banyak.
"Dari 2.2 juta pekerja asing, 1.2 hingga 1.7 juta berasal dari Indonesia. Jumlahnya boleh lebih besar lagi kerana banyak pekerja Indonesia yang tidak didaftarkan.
"Tanpa pekerja Indonesia, ekonomi Malaysia tidak akan maju seperti sekarang," katanya.

