Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gelombang PN akan menular ke Padang Serai - Shahidan

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim yakin gelombang yang membawa kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di Perlis dalam PRU15 lalu akan terus menular ke Parlimen Padang Serai.

Bekas pemimpin Umno itu berkata, sebarang usaha yang dilakukan pihak lawan tidak akan mampu menyekat gerakan perubahan yang digerakkan oleh orang Melayu-Islam di negara ini.

"Saya melihat apa yang berlaku di seluruh negara adalah gelombang yang mana rakyat mahukan pembaharuan, dan insya-Allah apa yang berlaku di Perlis, Kedah dan seluruh negara akan menular di Parlimen Padang Serai.

"Rakyat melihat perubahan ini diperlukan supaya perubahan diiringi dengan pentadbiran dan pemerintahan. Sekarang ini walaupun rakyat sudah bagi peluang tapi tidak diiringi dengan pemerintahan (PN)," katanya kepada media selepas pogram kempen PN di Pasar Malam Sungai Karangan, Kulim, malam tadi.

Hadir sama calon PN Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin serta puluhan penyokong mereka.

Pada PRU15 lalu Shahidan tidak dicalonkan BN untuk mempertahankan parlimen Arau sekali gus menyebabkannya bertindak menjadi calon bagi PN dan memenangi kembali kerusi berkenaan.

Selain tu PN juga mencipta rekod baru apabila meraih kemenangan di 14 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Perlis sekali gus merampas pentadbiran kerajaan negeri daripada BN.

Pilihan raya kecil (PRK) bagi Parlimen Padang Serai akan berlangsung pada 7 Dis ini selepas ditangguh susulan kematian penyandang yang juga calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya pada 16 Nov lalu iaitu dua hari sebelum pengundian PRU15.

Azman berdepan cabaran calon PH Mohamad Sofee Razak; C Sivarraajh (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).

Sementara itu Shahidan berkata, dia percaya gelombang sokongan kepada PN itu adalah bukti penolakan rakyat terhadap Umno dan BN, malah ia tidak lagi mampu dibendung selepas parti itu membuang dasar 'no Anwar, no DAP'.

"Ini mengecewakan orang-orang Umno dan Melayu yang menyokong Umno sebelum ini, kita lihat di Perlis dan seluruh negara orang Umno dan Melayu menolak BN.

"Kita mendapat majoriti undi yang luar biasa, kalau sokongan ahli PAS dan Bersatu sahaja tak cukup untuk dapat majoriti besar. Bermakna orang-orang Umno sendiri dan Melayu sekarang menolak seorang pemimpin (Umno) yang sentiasa berdolak-dalik dengan menggunakan parti untuk kepentingan diri," katanya tanpa menyebut nama individu yang dimaksudkan.

Lihat Komen
ADS