PAS percaya pakatan yang dibentuk antara Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk menubuhkan kerajaan negeri di Pahang akan memberi kesan dalam perebutan kerusi Tioman.

Justeru, parti itu berharap golongan muda yang kurang senang dengan pakatan antara PH dan BN akan mengundi calon Perikatan Nasional (PN) pada 7 Dis ini.

"Berkenaan dengan perkembangan semasa penggabungan BN dan PH di peringkat negeri Pahang ini memang memberi kesan kepada anak muda.

"Anak muda yang sebelum ini memilih PN kerana mahukan satu kerajaan yang bebas rasuah, bersih yang telah ditawarkan oleh PN iaitu kerajaan bersih dan stabil," kata Setiausaha Pemuda PAS Tioman, Khairul Izwan Ghazali.

Khairul berkata demikian dalam satu wawancara bersama lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Dia menjawab soalan mengenai sejauh mana PH-BN di Pahang memberi kesan kepada golongan muda berhubung kepentingan bangsa Melayu dan Islam.

Menyifatkan kawasan itu penting bagi PN, Khairul menggesa pengundi yang tinggal di luar Tioman supaya pulang mengundi.

Pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis selepas calon PN Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 19 Nov, beberapa jam sebelum pilihan raya umum.

Di Pahang, PN kini memegang 17 kerusi, BN 16 dan PH lapan kerusi.

Bercakap pada ceramah di Tioman malam tadi, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata BN memutuskan untuk bergabung dengan PH kerana parti itu tidak meletakkan syarat seperti PN.

Pengundian DUN Tioman di Pahang dan parlimen Padang Serai di Kedah dilihat sebagai ujian pertama untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan yang diterajuinya.

PH hanya 'nasi tambah'

Di Tioman, PH memutuskan untuk menarik diri daripada perebutan kerusi itu bagi memberi laluan kepada BN.

Meskipun menarik diri, nama calon PH tetap dicetak dalam kertas undi.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah tidak begitu menitikberatkan perkara itu.

“Kami melihat PH tidak mempunyai potensi di Tioman kerana pencabar sebenar PN ialah BN.

“PH hanya dianggap ‘nasi tambah’. Mereka dijangka akan menghadapi masalah, jadi, mereka memutuskan untuk menarik diri,” tambahnya.

Pilihan raya DUN Tioman akan menyaksikan Mohd Johari Hussain dari BN menentang Nor Idayu Hashim dari PN dan lain-lain.

Di Padang Serai, PH menjadi penyandang kerusi berkenaan selama dua penggal, memutuskan untuk tidak menarik diri daripada pertandingan walaupun calon BN C Sivarajh menggesa PH berbuat demikian.