MA63 lebih penting daripada jawatan TPM - GPS
Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan kepada kerajaan pusat bahawa bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) lebih penting berbanding jawatan timbalan perdana menteri.
Bercakap pada majlis di Kuching, Sarawak malam tadi, Pengerusi GPS Abang Johari Abang Openg berkata dia telah menyatakan perkara itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Pilihan raya lepas kita tak minta apa-apa, kita ikut pilihan raya, kita bertanding, dan kalau menang biarlah, tapi kita tak pernah minta balasan, lebih-lebih lagi berkaitan jawatan tertinggi kabinet.
"Itulah sebab mengapa soal TPM bukan keutamaan kita, kerana ia bukan dalam agenda kita untuk mendapatkan jawatan TPM. Namun, kalau orang beri, kita ambil, kenapa tidak?" katanya.
GPS dispekulasi akan diberikan satu daripada dua jawatan timbalan perdana menteri. Gabungan itu mempunyai 23 ahli parlimen.
Anwar dijangka membuat pengumuman mengenai jawatan kabinet hari ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak bersedia untuk menjadi kuasa ekonomi bagi Malaysia berikutan Dana Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak (SSWFF) yang akan beroperasi.
"Di Jerman, sebuah negara yang sangat maju di Eropah, mereka mempunyai wilayah yang meningkatkan ekonominya, yang dipanggil Bavaria. Semua kejayaan Jerman adalah di Bavaria, dan Sarawak mahu menjadi 'Bavaria Malaysia'," katanya.
Apabila dibentuk, SSWFF akan mempunyai modal sebanyak RM8 bilion.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/5df45536f4297c1cc85e7a0014a0e85b.jpg)
