Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jemaah menteri perlu elak pembaziran, tumpu ringankan beban rakyat'

Jemaah Menteri yang menganggotai kabinet kerajaan baru perlu mengelakkan pembaziran serta fokus dalam melaksanakan inisiatif yang boleh meringankan beban rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media pengumuman kabinet hari ini, Anwar berkata anggota kabinet perlu mengutamakan tata kelola yang baik semasa melaksanakan tugas masing-masing.

“Saya tetapkan jemaah menteri kerajaan perpaduan utamakan tata kelola dan good governance dan isu yang harus diambil untuk ringkankan beban rakyat.

“Fokus utama tetap adalah pemacuan ekonomi,” katanya ketika mengulas sama ada terdapat KPI (Indeks Prestasi Utama) tertentu diletakkan terhadap jemaah menteri.

Anwar berkata dia juga akan mengadakan pertemuan khas dengan jemaah menteri bagi membincangkan peraturan dan hala tuju setiap kementerian.

“Kaedah baru (akan) diperkenalkan, dengan maksud memusatkan usaha dalam menjalankan kerja dan elakkan segala kecurigaan tentang kemungkinan pembaziran, rasuah dan salah guna kuasa,” katanya

Sementara itu, perdana menteri memaklumkan senarai timbalan menteri akan diumumkan kemudian.

Anwar hari ini mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri serta 28 anggota jemaah menteri bagi kerajaan.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar, 75, turut memegang portfolio Menteri Kewangan.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Nov lepas.

-Bernama

Lihat Komen
ADS