Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadhlina Sidek: Dari aktivis kepada menteri pendidikan

Pengalaman sebagai aktivis dan peguam dalam undang-undang keluarga Islam serta hal kebajikan kanak-kanak dilihat mampu membantu Fadhlina Sidek dalam melaksanakan tugasnya sebagai menteri pendidikan yang baru.

Sebelum aktif dalam politik, Fadhlina, 45, banyak terlibat dalam perkara berkaitan literasi undang-undang keluarga Islam, perlindungan serta keselamatan kanak-kanak selain mempunyai firma guaman syarie sendiri.

Kerjaya politiknya bermula pada 2020 selepas menyertai PKR dan dilantik sebagai Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, sebelum memenangi pemilihan PKR untuk jawatan ketua wanita parti itu pada Julai tahun ini.

Dia juga merupakan Ahli Dewan Negara yang dilantik pada 1 Sept 2021 bagi mewakili DUN Pulau Pinang.

Anak kepada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Allahyarham Dr Siddiq Fadzil ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Semenyih sebelum menamatkan alam persekolahan pada 1994 di Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Kajang, Selangor.

Fadhlina kemudian melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dan LLB (Syariah) pada 2002, selain meraih Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2008.

Dia telah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Fadzli Arsad dan dikurniakan enam cahaya mata.

Pada PRU15, Fadhlina pertama kali dicalonkan oleh PKR untuk bertanding di Parlimen Nibong Tebal dan berjaya menewaskan penyandang Mansor Othman yang mewakili PN dengan majoriti 16,293 undi.

-Bernama

Lihat Komen
ADS