Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH cadangkan nama MP Lanang jadi timbalan speaker

Pakatan Harapan (PH) dijangka mencalonkan Ahli Parlimen DAP yang mewakili kerusi Lanang, Alice Lau, sebagai calon timbalan speaker Dewan Rakyat.

Ketika dihubungi, beberapa sumber dalaman DAP mengesahkan perkara itu dan ia dimaklumkan pucuk pimpinan parti terbabit dalam sesi taklimat malam semalam.

"Sudah disahkan," kata sumber terbabit yang bercakap dengan syarat sebarang identitinya tidak didedahkan kepada umum.

Sementara itu dua sumber lain mengesahkan memang PH mencalonkan Lau namun perkara itu belum dimuktamadkan.

"Ia belum dimuktamadkan lagi," kata mereka.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Lau, 41, untuk mendapatkan komen.

Lau yang juga anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP memenangi kerusi parlimen Lanang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

Dalam PRU ke-15 bulan lalu Lau mengekalkan kerusi berkenaan dengan kelebihan 11,544 undi mengalahkan tiga pencabar lain.

Mesyuarat pertama Parlimen ke-15 akan dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Dis ini dengan urusan terawal ialah melantik speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Pada 6 Dis lalu bekas Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul mengesahkan namanya adalah satu daripada beberapa nama yang dicadangkan oleh PH untuk dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat.

Johari ditawarkan jawatan tersebut pada 2018 apabila PH menjadi kerajaan selepas PRU ke-14, tetapi menolaknya.

Malaysiakini juga difahamkan kerajaan mencadangkan Ahli Parlimen Cameron Highland dari BN, Ramli Md Nor dikekal sebagai timbalan speaker.

Sementara itu, Perikatan Nasional dilaporkan menyerahkan dua nama untuk jawatan speaker dan timbalan speaker.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS