Semak fakta: 'Kata-kata terakhir hakim Augustine Paul' kisah rekaan
Selepas Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri bulan lalu, sebuah esei yang didakwa sebagai kata-kata terakhir hakim yang mensabitkan kesalahan liwat dan rasuah pada 1999 terhadap presiden PKR itu tersebar di media sosial.
Walau bagaimanapun, esei itu berkemungkinan fiksyen atau kisah rekaan.
Ini kerana rekod pertama ia diterbitkan dalam talian adalah pada Disember 1998, lebih sedekad sebelum hakim itu meninggal dunia pada 2010 dan empat bulan sebelum dia membuat keputusan di mahkamah pada April 1999.
Esei bertajuk 'I Watch The Sparrows Fly' itu mula-mula dikongsi melalui Google Group 'soc.culture.malaysia' sebagai satu bentuk gambaran fiksyen tentang masa depan hakim itu.
Ia kemudiannya diterbitkan semula oleh jufree.tripod.com, sebuah laman web khusus untuk gerakan Reformasi, yang kali terakhir dikemas kini pada 22 Nov 1999.
Jufree.tripod.com juga menyatakan esei itu disiar semula dari Google Group berkenaan.
Kesilapan fakta
Versi terkini, kini beredar di WhatsApp, mempunyai satu perbezaan kecil dengan versi 1998.
Dalam versi terkini, mukadimah menyatakan bahawa esei itu ditulis pada 2010, manakala versi asal menyatakan bahawa tahun itu ialah 2018.
Esei itu juga memasukkan beberapa kesalahan fakta.
Sebagai contoh, ia menyatakan hakim itu meletak jawatan untuk mengelak disingkirkan daripada panel Mahkamah Persekutuan.
Sebaliknya, dia meninggal dunia akibat kanser ketika masih berada di panel itu, beberapa bulan sebelum dia bersara.
Esei itu juga mendakwa isteri dan anak hakim itu meninggal dunia sebelum dia, tetapi sebenarnya, dia meninggalkan isterinya Dr Mary Paul dan anak Dr Juliana Sharmini dan Alan John.
Esei itu juga disangkal sebagai "berita palsu" di laman web pengumpulan kandungan Malaysia dan forum dalam talian, Techrap pada 26 Nov.
Malaysiakini menyemak esei itu selepas orang ramai menghantarnya melalui talian perikatan pemeriksa fakta, JomCheck.
Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada panggilan) atau melalui pautan ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/b0f60e24900989dde77fbc8a8070119d.jpg)
