Amnesty International gesa k'jaan campur tangan halang pengusiran 114 warga Myanmar
Amnesty International Malaysiaa dan Asylum Access Malaysia menyatakan kebimbangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menarik balik penangguhan pengusiran 114 warga Myanmar.
Mereka menggesa kerajaan baru Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam perkara itu bagi menyelamatkan warga asing berkenaan daripada kemungkinan hukuman mati.
Dalam satu kenyataan bersama Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Katrina Jorene Maliamauv dan Pengarah Eksekutif Asylum Access Malaysia Tham Hui Ying berkata bahawa keputusan mahkamah menunjukkan penghantaran pulang warga asing berkenaan diteruskan meskipun terdapat bantahan di peringkat antarabangsa.
"Kerajaan bertekad untuk menghantar pulang mereka dan bukannya mencari penyelesaian yang melindungi hak dan keselamatan warga Myanmar berkenaan dan menghormati kewajipan hak asasi manusia kerajaan Malaysia.
"Walaupun penangguhan pengusiran hari ini ditarik balik, kami sangat menggesa kerajaan untuk pertimbangkan semula rancangannya.
“Kami terus menyeru agar pemimpin menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa dan menghentikan sebarang keputusan untuk menghantar pulang mereka ke situasi yang ganas dan berbahaya.
"Melanggar prinsip paling asas non-refoulement (penghantaran pulang pencari suaka ke negara asal) ini akan mencerminkan imej buruk mengenai penghormatan kerajaan baru terhadap hak asasi manusia," kata mereka.
Pada Februari 2021, Amnesty Malaysia dan Asylum Access Malaysia memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar pengusiran 1,200 warga Myanmar pulang ke negara itu.
Kira-kira 1,086 masih dihantar pulang ke Myanmar walaupun terdapat perintah mahkamah dan penangguhan penghantaran pulang. Baki 114 lagi tidak dihantar pulang kerana didapati positif Covid-19.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan penangguhan penghantaran pulang ke atas baki 114 individu berkenaan, sementara menunggu semakan kehakiman. Pada Mei tahun ini, kerajaan memfailkan permohonan untuk menarik balik pengangguhan itu.
Walaupun terdapat usaha untuk memastikan 114 individu itu mempunyai laluan selamat dan sah untuk kekal di Malaysia serta
tidak dihantar pulang secara paksa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menarik balik penangguhan itu.
Menurut NGO Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, polis dan tentera telah sewenang-wenangnya menahan lebih 15,700 orang dan membunuh sekurang-kurangnya 2,300 sejak rampasan kuasa tentera menyingkirkan kerajaan Aung San Suu Kyi.
“Rakyat Myanmar sepatutnya dibenarkan kekal dengan selamat (tidak ditahan) di Malaysia manakala status mereka ditetapkan, dan tidak dikembalikan secara paksa ke negara asal dalam apa cara sekalipun selagi Myanmar dalam keadaan tidak aman.
“Dengan adanya kabinet baru, kerajaan baru harus menamatkan pendekatan tidak jujurnya mengkritik pihak berkuasa tentera Myanmar tapi pada masa sama menghantar paksa pencari suaka," kata aktivis hak asasi manusia itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/02/35956e8e9fc5f995ae905bcc378f49fd.jpg)
