Angkatan Muda Keadilan NS kesal dengan kenyataan MB
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan kesal dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan yang menunjukkan seolah-olah semua jabatan di bawah kerajaan negeri itu diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan program sendiri tanpa perlu merujuk atau mendapatkan kelulusan pimpinan kerajaan negeri.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan kesal dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan yang menunjukkan seolah-olah semua jabatan di bawah kerajaan negeri itu diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan program sendiri tanpa perlu merujuk atau mendapatkan kelulusan pimpinan kerajaan negeri.
Pergerakan itu merujuk kepada kenyataan Mohamad mengenai Pameran Alam Misteri: Hantu dan Jin di Muzium Negeri Sembilan (LMNS) telah mencetuskan kontroversi, apabila mendapat kritikan seorang pembaca dalam ruangan forum akhbar Utusan Malaysia.
Komen pembaca itu mendapat reaksi Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang meminta agar pameran seumpama itu dihentikan kerana tidak membantu, sebaliknya hanya mengkhayalkan masyarakat.
Manakala Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim juga mahukan LMNS menghentikan segera pameran tersebut yang dianggapnya tidak memberi faedah kepada perkembangan tamadun manusia.
Pameran itu dijadual berlangsung selama tiga bulan dan telah mencetuskan kontroversi tersebut selepas sembilan hari dibuka kepada orang ramai.
Dalam satu kenyataan, Ketua AMK Negeri Sembilan Ariffin @ Rebin Berham berkata, pihak kesal dengan kenyataan Mohamad bahawa LMNS tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai penganjuran pameran tersebut.
'Tidak prihatan'
Mohamad (foto) juga dilaporkan berkata beliau menyerahkan kepada pengurusan LMNS sama ada mahu meneruskan pameran tersebut atau menghentikannya.
Menurut Ariffin, kenyataan menteri besar itu menunjukkan beliau seolah-olah tidak perihatin dengan apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri sedangkan papan iklan pameran tersebut telah lama terpampang di tiang lampu di sekitar bandar Seremban.
"Seperkara lagi, kenyataan beliau juga menunjukkan mana-mana premis milik kerajaan Negeri Sembilan boleh digunakan untuk apa-apa tujuan komersial," tambahnya.
Katanya, seandainya menteri besar telah memberikan kuasa penuh kepada semua jabatan menentukan program sendiri tanpa perlu merujuk kepada pimpinan kerajaan negeri, maka AMK ingin mengemukakan permohonan untuk menggunakan premis kerajaan negeri, terutama stadium, dewan dan padang untuk aktivitinya.
"Apakah 'Hantu dan Jin' lebih mulia daripada parti politik yang berdaftar secara sah sehingga tidak memerlukan kelulusan atau permit untuk diadakan pameran?" katanya lagi.

