Bekas ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menyertai badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional.
Pengasas NGO itu, Annuar Musa yang juga bekas ahli parlimen Ketereh mengumumkan perkara berkenaan di Facebook.
Annuar turut mengucapkan terima kasih kepada Zuraida kerana berkunjung ke pejabatnya.
Muafakat Nasional Annuar ialah persatuan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menggunakan nama sama dengan pakatan pilihan raya antara Umno dan PAS yang ditandatangani pada September 2019.
Menurut laman web Muafakat Nasional, kumpulan itu bertujuan untuk menganjurkan aktiviti mempromosikan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

Antara lain, kumpulan itu juga bertujuan untuk melindungi kedudukan raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera, menjaga kepentingan kumpulan etnik lain, bahasa Melayu dan kepentingan masyarakat majmuk.
Ia merancang untuk berbuat demikian dengan menganjurkan beberapa perbincangan meja bulat dan "jelajah Muafakat Nasional" - siri seminar tertutup - serta konvensyen Muafakat Nasional peringkat kebangsaan.
Zuraida, yang bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 gagal mempertahankan kerusi Ampang selepas tewas kepada calon PH Rodziah Ismail.
Selepas dipecat dari Umno lima hari lalu, Annuar mengajak orang ramai menyertai Muafakat Nasional.
Sementara itu, dalam hantaran Facebook berasingan, Annuar juga berkongsi gambar pertemuannya dengan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad.
Pertemuan itu berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana dan menurut Annuar ia bertujuan untuk "bertukar-tukar pandangan".
