P'raya kecil DUN Machap 12 April
Pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Melaka telah ditetapkan pada 12 April depan.
Pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap di Melaka telah ditetapkan pada 12 April depan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul
Rahman juga mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 3 April ini.
Kerusi DUN Machap menjadi kosong selepas penyandangnya dari MCA, Datuk Wira Poh Ah Tiam meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggangnya berfungsi.
Dalam pilihanraya umum 2004, Poh menewaskan calon DAP Liou Chen Kuang dengan majoriti 4,562 undi.
Poh yang juga Pengerusi MCA Melaka itu merupakan seorang ahli politik veteran dan telah memenangi lima kali pilihanraya berturut-turut sejak 1986.
Mendiang terpilih sebagai Adun Pulau Sebang, dengan menewaskan calon DAP, dalam pilihanraya 1986 dan mengekalkan kerusi tersebut dalam pilihanraya 1990.
P'raya kecil wajib
Selepas itu, mendiang memenangi kerusi Bukit Sedanan dalam pilihanraya 1995 dan sekali lagi berjaya mengekalkan kerusi tersebut, dengan menewaskan calon Keadilan, dalam pilihanraya 1999.
Manakala dalam pilihanraya umum 2004, Poh menewaskan calon DAP, Liou Chen Kuang dengan majoriti 4,562 undi bagi kerusi Machap.
Poh dilantik sebagai ahli exco negeri sejak 1990 dan jawatan terakhir mendiang ialah sebagai exco perumahan dan kerajaan tempatan Melaka.
Sementara itu, menurut laporan Bernama, Abdul Rashid berkata, pilihanraya kecil Machap wajib diadakan mengikut Perlembagaan Negeri Melaka kerana berlaku kekosongan dalam Dewan Undangan Negeri dalam tempoh dewan itu belum mencapai usia tiga tahun.
Dewan Undangan Negeri Melaka mula bersidang pada 17 April 2004 dan akan hanya mencapai usia tiga tahun pada 16 April 2007.
"Jika berlaku kekosongan selepas 16 April 2007, pilihanraya kecil tidak perlu diadakan, kecuali jika Speaker dewan undangan itu meminta diadakan atas sebab seperti menentukan bilangan majoriti ahli sesuatu dewan undangan itu," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
DAP bertanding
Bagi Dewan Rakyat, usia tiga tahunnya ialah pada 16 Mei 2007 kerana tarikh ia mula bersidang ialah pada 17 Mei 2004.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, jika berlaku kekosongan ahli Dewan Rakyat selepas 16 Mei 2007, pilihanraya kecil tidak perlu diadakan kecuali atas permintaan speaker dewan.
Menurut laporan Bernama, Abdul Rashid turut mengumumkan pelantikan Pegawai Daerah Alor Gajah, Hasim Ismail, sebagai pegawai pengurus pilihanraya kecil itu dan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah) Alor Gajah, Harun Bujang sebagai penolong pegawai pengurus.
Manakala Pengarah Bahagian Pengurusan, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Noor Bahiyah Shamsul Bahrin dilantik sebagai penolong pegawai pengurus, dan pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah, Azizan Sulong, sebagai ketua pasukan penguatkuasa kempen pilihanraya.
Abdul Rashid mengingatkan semua pihak yang akan terbabit dalam pilihanraya kecil itu, terutamanya parti-parti politik, calon dan petugas parti supaya mematuhi undang-undang dan prosedur pengurusan pilihanraya serta tatasusila berkempen.
Sementara itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, parti itu akan bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.
Katanya, butiran lanjut mengenainya akan diumumkan hari ini.

