Ahli tidak puashati mesyuarat PKR Kulim-Bandar Baru ditangguhkan
Tindakan ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Kulim-Bandar Baru menangguhkan mesyuarat bahagian tersebut, yang dijadualkan Ahad lalu, pada saat akhir atas alasan 'masalah teknikal', telah menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan ahli.
Tindakan ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Kulim-Bandar Baru menangguhkan mesyuarat bahagian tersebut, yang dijadualkan Ahad lalu, pada saat akhir atas alasan 'masalah teknikal', telah menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan ahli.
Ekoran itu, tersebar desas-desus yang mengatakan mesyuarat itu ditangguhkan kerana ada ahli yang akan mencabar ketua bahagian tersebut, Alwi Yusof, dan untuk mencalonkan Abdul Rahman Othman bertanding jawatan presiden.
Notis mengenai penangguhan mesyuarat tersebut ditampal di pintu pejabat parti berkenaan pada malam Sabtu lalu.
Ia juga memaklumkan mesyuarat tersebut akan diadakan pada tarikh baru 28 Mac dan tempat mesyuarat itu juga telah ditukar daripada pejabat PKR bahagian Kulim, ke pejabat PAS di Serdang, Kulim-Bandar Baru.
Bagaimanapun, Setiausaha PKR Kedah, Abdul Hamid Othman berkata, ketika dihubungi, berkata mesyuarat baru itu tidak boleh diadakan pada 28 Mac ini kerana perlembagaan parti menetapkan notis untuk mengadakan mesyuarat bahagian, perlu dihantar sekurang-kurangnya 40 hari.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mendapat laporan dari bahagian Kulim Bandar Baru mengenai perkara tersebut.
Abdul Hamid berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai penangguhan mesyuarat tersebut melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh Alwi, dua hari lalu.
'Tidak bergerak'
Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda (AMPKR) bahagian berkenaan, Adlizuan Shafizal Abdul Razak, ketika dihubungi petang semalam, mengesahkan beliau akan bertanding jawatan ketua bahagian.
"Saya ingin membawa perubahan kepada kepimpinan bahagian kerana ramai ahli tidak puas hati dengan pucuk pimpinan sekarang.
"Banyak cawangan parti yang tidak bergerak dan ini bermakna program membuka dan menambah ahli baru tidak berjaya," katanya.
Adlizuan mendakwa Alwi tidak memberi komitmen sebagai ketua bahagian, menyebabkan moral ahli terjejas dan jika berterusan boleh merencatkan persiapan menghadapi pilihanraya umum.
Beliau juga mendakwa, tindakan menangguhkan mesyuarat bahagian yang sepatutnya diadakan Ahad lalu,telah menimbulkan kemarahan ahli kerana tidak dimaklumkan lebih awal.
Menurutnya, ramai ahli yang tidak tahu mengenai penangguhan mesyuarat tersebut, hadir pada petang Ahad lalu.
Mereka, katanya, terkejut apabila mendapati satu notis ditampal di pintu pejabat PKR Kulim Bandar Baru yang menyatakan mesyuarat terpaksa ditangguhkan atas masalah teknikal.
'Cabar ketua bahagian'
"Notis penangguhan mesyuarat itu ditandatangani oleh Alwi dan dikatakan ditampalkan pada jam 9 malam Sabtu lalu, sedangkan mesyuarat sepatutnya diadakan petang esoknya," katanya.
Adlizuan berkata, ramai ahli parti yang cuba menelefon Alwi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut tetapi tidak dijawab.
Sementara itu, ketika dihubungi, Alwi berkata, penangguhan mesyuarat tersebut terpaksa dibuat kerana laporan minit mesyuarat dan laporan kewangan tidak siap.
Berikutan itu, katanya, beliau sebagai ketua bahagian mengambil tanggungjawab menangguhkan mesyuarat tersebut.
Beliau berkata, penangguhan mesyuarat tersebut tiada kaitan dengan hasrat Adlizuan untuk mencabar beliau atau bahagiannya mahu mencalonkan Abdul Rahman untuk jawatan presiden.
Ditanya mengenai kenyataan Abdul Hamid bahawa mesyuarat tersebut tidak boleh diadakan pada 28 Mac depan kerana notis perlu dihantar dalam tempoh 40 harti, Alwi berkata, pihaknya sedang menunggu jawapan rasmi daripada PKR negeri.
"Saya telah menghantar surat memaklumkan tarikh baru itu kepada perhubungan negeri, dan kami masih menunggu pengesahannya sama ada mesyuarat tersebut boleh diadakan pada tarikh baru itu," katanya.

