Bekas pegawai bank, Joanna Yu Ging Ping berkata dia mempunyai persepsi adalah tidak wajar untuk bertemu perdana menteri secara langsung berhubung akaun bank Najib Razak.

Bekas pengurus perhubungan AmBank itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika perbicaraan rasuah terhadap bekas menteri kewangan itu yang melibatkan dana RM2.28 bilion 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela utama tertuduh, Muhammad Shafee Abdullah.

Yu: Dari segi protokol, saya diberitahu dia adalah perdana menteri. Kami tidak berurusan langsung dengan perdana menteri (Najib). Malah Cheah (Tek Kuang, pengarah urusan AmBank ketika itu), Jho Low, melalui tindakan, mereka bertemu perdana menteri, bukan kami.

Shafee: Siapa yang beritahu anda cerita menakutkan ini bahawa anda tidak boleh jumpa perdana menteri? Serupa dengan seseorang yang tidak boleh melihat wajah Buddha?

Yu: Mungkin itu persepsi saya sendiri.

Shafee: Tiada siapa yang beritahu anda ini.

Yu: Saya tidak fikir perdana menteri akan mempunyai masa untuk bertemu saya.

Dalam prosiding sebelum ini di hadapan hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, Yu memberikan keterangan lisan bahawa dia tidak pernah bertemu Najib secara langsung berhubung akaun bankya.

Ketika pemeriksaan balas yang berlangsung dalam suasana yang kadang kala tegang itu, Shafee mengasak Yu dan bertanya mengapa ketua pegawai pelaburan 1MDB ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil dijadikan pemegang mandat untuk menguruskan akaun Najib.

Nik Faisal dan Low kini menghilangkan diri. Pihak berkuasa sedang mencari mereka untuk membantu siasatan berhubung kes 1MDB.

Shafee terus mengasak Yu selepas wanita itu menyebut bahawa pengalamannya berurusan dengan pelanggan yang mempunyai pemegang mandat hanya terhad kepada Najib memandangkan pelanggan bank yang mepunyai pemegang mandat biasanya ada golongan kurang upaya.

Peguam itu kemudiannya menegaskan bahawa pemegang mandat adalah perlu bagi individu yang sibuk seperti Najib yang merupakan perdana menteri Malaysia ketika itu.

Yu kemudian menjawab dia tidak menyoal cawangan bank mengenai perkara ini.

Pada satu ketika apabila jawapan Yu diihat tidak memuaskannya, Shafee mengingatkannya bahawa "Kita tidak menulis novel" dan saksi harus menjawab secara langsung dan "secara klinikal".

Prosiding di hadapan Sequerah akan disambung semula pada 27 Jan tahun depan.

[Baca berita penuh]