'Saya sudah letak jawatan pengarah syarikat pembalakan’
Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Huang Tiong Sii berkata dia telah menandatangani dokumen untuk melepaskan jawatannya dalam syarikat pembalakan MM Golden (M) Sdn Bhd pada 6 Dis, tiga hari sebelum dilantik.
Dia memberitahu Malaysiakini demikian sebagai menjawab tuduhan konflik kepentingan memandangkan dia merupakan pengarah syarikat yang berpangkalan di Sarawak itu yang terlibat dalam aktiviti pembalakan haram dan ugutan terhadap penduduk tempatan.
“Itu hari saya (tandatangan) dokumen semua pada 6 Dis.. saya sudah siap (serah kepada) itu audit firm, minit pun siap, meeting siap, lepas itu sign (tandatangan) dia angkat balik beri kepada peguam, dan hantar pergi SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia).
“Kalau SSM tidak tengok ini dokumen, dia tidak boleh tukar nama. Saya sudah janji awak saya semua sudah resign (letak jawatan). Ada dokumen.
“Saya buat apa law cakap. Orang cakap lain punya dia punya hal. Kita mahu ikut undang-undang kerajaan, tidak mahu tipu, tipu nanti satu hari susah,” kata pemimpin GPS berusia 53 tahun itu.
Anak perempuan sulung Huang, Qian Wen juga dilantik sebagai pengarah MM Golden pada 16 Sept 2018, menurut semakan Malaysiakini.
Bapa dan anak itu juga merupakan pemegang saham MM Golden, dengan masing-masing memegang 99.5 dan 0.5 peratus saham.
Kontroversi mengenai pelantikan Huang pertama kali diketengahkan apabila artikel Sarawak Report dari 2016 muncul semula di media sosial.
Laporan itu mendakwa MM Golden mendirikan kem pembalakan bersebelahan tapak Empangan Baram yang sangat kontroversi, sebuah projek yang telah dibatalkan pada Mac 2016.
Projek itu dibatalkan selepas penduduk kampung Long Kese, Na’ah dan Long Tap membawa kerajaan ke mahkamah berhubung dua warta untuk Empangan Baram.
Warta itu adalah untuk tapak empangan dan tanah yang diperoleh untuk takungan empangan apabila ia disita.
Pada ketika itu, Huang adalah calon kerusi Repok semasa pilihan raya negeri.
Dia memenangi kerusi itu dan telah menjadi Adun Repok selama tiga penggal.
Awal minggu ini, presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (Peka), Damien Thanam Divean telah meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan pelantikan Huang, mempersoalkan bagaimana ia akan memberi manfaat kepada Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Kami faham berdasarkan keputusan PRU15 yang belum pernah berlaku sebelum ini, Anwar memerlukan sokongan daripada ahli parlimen Sabah dan Sarawak untuk membentuk dan menjalankan pentadbirannya sebagai perdana menteri.
“Tetapi, mesti ada sekurang-kurangnya seorang lagi ahli parlimen dari Sarawak yang mempunyai kelayakan dan latar belakang yang lebih baik berbanding yang dilantik sebagai timbalan kepada (menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) Nik Nazmi (Nik Ahmad),” katanya.
Damien juga mempersoalkan potensi sumbangan Huang terhadap kementerian itu, berikutan dakwaan MM Golden sebelum ini mempunyai pertikaian dengan masyarakat Orang Asli di Baram.
Presiden Peka itu merujuk kepada artikel Sarawak Report yang turut mendakwa MM Golden telah menakut-nakutkan penduduk Long Keseh dan Long Na’ah yang membuat bantahan terhadap pembinaan Empangan Baram.
Huang bagaimanapun menafikan dakwaan yang dibuat dalam laporan itu.
Sementara itu, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mendakwa pelantikan Huang adalah tindakan kontroversi yang boleh menjejaskan usaha pembaharuan ke arah pengurusan alam sekitar dan sumber asli yang mampan.
Ia juga mendakwa bahawa Huang memiliki konsesi perniagaan kayu di Papua New Guinea.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/ebb1319bd092e7862e8b86f635d0335b.jpg)
