'Parti hanya perlu had kebebasan undi MP untuk soal keyakinan, pembekalan'
Bersih menggesa semua parti politik yang ingin meminda perlembagaan parti berkenaan kebebasan ahli parlimen untuk mengundi di Parlimen, agar membataskannya untuk soal keyakinan dan pembekalan.
Gesaan itu susulan perjanjian permuafakatan kerjasama (MOU) antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin parti dalam kerajaan pimpinannya, yang menimbulkan kebimbangan berkenaan pembatasan hak ahli parlimen untuk mengundi di Dewan Rakyat.
Bersih berpandangan jika RUU berkenaan undang-undang dan malah perlembagaan yang dibawa kerajaan ditolak, ia tidak boleh dilihat sebagai hilangnya keyakinan terhadap kerajaan.
"Jika tidak, parti-parti boleh memaksa ahli-ahli parlimen mengundi ikut arahan parti untuk mengelakkan ketidakpercayaan kepada kerajaan,” kata jawatankuasa pemandu Bersih dalam kenyataan hari ini.
Bersih juga berkata pihaknya berharap dapat bertemu dengan Anwar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said serta Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin untuk membincangkan soal pengukuhan demokrasi pelbagai parti dan parlimen secara lebih lanjut.
Antara amalan terbaik yang dicadangkan Bersih termasuk keahlian dan jawatan pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) melibatkan gabungan parti berdasarkan bilangan ahli parlimen persendirian (yang bukan menteri, Speaker atau Timbalan Speaker), dan bukan atas bilangan semua ahli parlimen.
“Pembahagian berdasarkan bilangan semua ahli parlimen akan memberikan perwakilan berlebihan kepada parti-parti yang mempunyai ramai menteri,” kata Bersih, sambil menambah bahawa keanggotaan dalam JPKP perlu mengambil kira minat dan kepakaran ahli parlimen, dan bukan secara semberono dilantik oleh ketua parti.
“Pengerusi dan timbalan pengerusi perlu mewakili kedua-dua pihak dalam parlimen, satu daripada kerajaan dan satu daripada pembangkang untuk memastikan semak dan imbang di dalam jawatankuasa.
“Pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa perlu dibayar dengan elaun tambahan kerana jawatankuasa perlu bergerak sepanjang tahun, walaupun apabila Parlimen ditangguhkan,” kata Bersih lagi.
Bersih juga membangkitkan pembentukan kerajaan berdasarkan rundingan di peringkat parti sebagai antara 10 cadangannya demi kestabilan politik namun menegaskan sebarang kompromi yang dibuat harus dihadkan kepada hal-hal yang diperlukan sahaja, agar tidak membawa kepada dominasi cabang eksekutif.
Selain Anwar, Pengerusi BN, Ahmad Zahid, Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg (GPS), Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (GRS) dan Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal turut menandatangani perjanjian itu, dalam satu acara di Putrajaya Jumaat lalu.
Semalam, beberapa ahli parlimen, antaranya Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Hassan Karim (Pasir Gudang) menyuarakan kebimbangan serupa berkenaan MOU tersebut.
Mas Ermieyati mendakwa ia akan membawa kepada pemerintahan diktator manakala Hassan berkata dia tetap akan mengundi bagi menyokong Anwar tetapi bukan kerana ultimatum yang terkandung dalam MOU tersebut.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/07/80357af6a1a8ee3df10dbffd9d487d42.jpg)
