Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih, aliran keluar RM250 juta
Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kelima berturut-turut apabila mereka menjual saham bernilai RM258.6 juta di Bursa Malaysia -- rendah sedikit daripada jumlah bersih yang dijual iaitu RM731.8 juta pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata setiap hari dagangan pada minggu lepas menyaksikan jualan bersih oleh pelabur asing, kecuali hari Rabu.
Jualan bersih paling banyak dicatatkan pada Khamis berjumlah sehingga RM179.0 juta.
Para pelabur menjual pada kadar lebih rendah pada Isnin, Selasa dan Jumaat masing-masing dengan jumlah RM52.2 juta, RM36.2 juta dan RM12.6 juta.
"Sebaliknya, Rabu adalah satu-satunya hari belian bersih oleh pelabur asing pada RM21.4 juta," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah telekomunikasi dan media sebanyak RM38.5 juta, pembinaan (RM35.2 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (RM32.0 juta).
Sementara itu, tiga sektor teratas yang memperlihatkan aliran keluar bersih asing ialah perkhidmatan kewangan RM125.7 juta, perladangan RM108.2 juta dan penjagaan kesihatan RM78.6 juta.
Institusi tempatan terus mencatatkan belian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut apabila iklim politik dalam negeri yang lebih stabil membantu meningkatkan sentimen pelabur.
"Mereka mencatatkan belian RM223.14 juta minggu lepas, lebih rendah berbanding RM680.4 juta yang direkodkan pada minggu sebelumnya," kata MIDF Research.
Menurutnya, setiap hari dagangan pada minggu lepas adalah hari belian bersih untuk kelas pelabur ini, dengan belian bersih paling banyak dicatatkan pada Khamis berjumlah RM134.81 juta.
Sementara itu, peruncit tempatan terus menjadi pembeli bersih minggu lepas dengan merekodkan RM35.6 juta, rendah sedikit daripada belian bersih RM51.4 juta pada minggu sebelumnya.
Mereka merupakan pembeli bersih pada hari Isnin, Selasa dan Khamis dengan belian bersih tertinggi pada Khamis sebanyak RM44.2 juta.
"Dan kemudiannya menjadi penjual bersih pula pada hari Rabu dan Jumaat, masing-masing pada RM29.7 juta dan RM9.1 juta," katanya.
Pelabur asing telah menjadi pembeli bersih selama 27 daripada 50 minggu tahun 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM4.54 bilion.
Institusi tempatan adalah penjual bersih selama 32 daripada 50 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM6.66 bilion.
MIDF Research berkata peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 32 daripada 50 minggu.
Setakat tahun ini, mereka telah menjadi pembeli bersih pada RM2.13 bilion.
Dari segi penyertaan, terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian dalam kalangan institusi tempatan, peruncit dan pelabur asing masing-masing 12.55 peratus, 12.29 peratus dan 9.02 peratus.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/03/7f0d3a007f0ac354dcf75a9bff900f80.jpg)
