Lebih 60,000 terjejas banjir di selatan Thailand
Banjir di sembilan wilayah di selatan Thailand bermula Ahad menjejaskan lebih 64,400 isi rumah di negara itu.
Banjir kilat dan tanah runtuh berlaku di Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.
Ia mengakibatkan keseluruhan 64,626 orang di 1,425 kampung dan 66 daerah terjejas, menurut Bangkok Post.
Di Yala, banjir teruk melanda semua lapan daerah, menjejaskan lebih 5,000 isi rumah.
Seorang budak lelaki maut dan seorang kanak-kanak perempuan cedera akibat banjir yang turut menghanyutkan seorang lagi budak lelaki, yang masih hilang.
Pada Selasa, usaha diteruskan untuk mencari Abdulrohhaman Isor, 14, pelajar sekolah Islam di daerah Muang, Yala selepas dia terjatuh dalam banjir pada Ahad lalu.
Banjir itu turut meragut nyawa seorang remaja lelaki berusia 13 tahun, Ifan Jaetae, dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun, Arisa Jaetae.
Kedua-duanya dari daerah Yaha. Kanak-kanak itu terjatuh ke dalam kawasan takungan air semasa banjir.
Hujan lebat selama dua hari menyebabkan limpahan sungai Pattani dan Sai Buri yang menjejaskan 23,605 orang daripada 5,525 isi rumah di semua lapan daerah wilayah sempadan – Than To, Bannang Sata, Yaha, Raman, Muang, Krong Pinang, Kabang dan Betong.
Sebanyak 239 kampung ditenggelami air, menurut pusat operasi banjir. Seramai 105 orang dipindahkan daripada 30 keluarga.
Sementara itu sebanyak 20 buah rumah rosak akibat banjir yang turut menenggelami lebih 5,591 tanah ladang. Sebanyak 17 jalan, dua jambatan, dan 21 tiang elektrik rosak, manakala sebuah masjid dinaiki air.
Setakat 6 pagi Selasa, paras air di sungai Pattani dan Sai Buri melimpah daripada tebing sungai setinggi 1.25 meter di daerah Muang dan 2.47 meter di daerah Raman.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/440d7ab9689ec9088d203d7e8b46d703.jpg)
