MB T'ganu mohon maaf tidak bersama rakyat semasa banjir
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini tampil meminta maaf secara terbuka kerana tidak berada bersama rakyat negeri itu ketika mereka terlibat dalam bencana banjir.
Malah dia juga mengakui tidak ad sebarang alasan untuk dia tidak bersama-sama mereka dalam tempoh yang kritikal itu.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan rasa kesal saya tak terhingga saya kerana tak dapat bersama mangsa-mangsa banjir di lapangan terutama untuk tempoh 18 hingga 21 haribulan," katanya.
Naib presiden PAS itu juag mengakui apa saja alasan yang diberikan, ia tidak dapat membetulkan keadaan serta ketiadaannya di negeri terbabit sebelum ini.
Namun pada masa sama ketika menjawab soalan wartawan, Ahmad Samsuri menganggap cara kerajaan negeri menguruskan isu banjir sebagai "begitu baik" di sebalik kecaman laskar siber terhadapnya.
Dalam sidang media di Pejabat Daerah Kemanan selepas menghadiri taklimat mengenai pengurusan banjir pagi tadi, Ahmad Samsuri berkata dia pada awalnya telah bertemu bersama mangsa banjir sebelum bertolak ke luar negara iaitu pada 9 dan 10 Dis lalu.

Pada masa berkenaan, katanya, dia mendapati keadaan banjir tidak kritikal seperti selepas itu.
Justeru, kata Adun Rhu Rendang berkenaan, dia mengambil keputusan untuk meneruskan rancangan perjalanannya ke luar negara. Bagaimanapun, tokoh yang dilihat dekat dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang,itu tidak menyebut nama negara yang dilawatinya.
Pada 20 Dis lalu bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam mendakwa Ahmad Samsuri berada di New Zealand walaupun Terengganu sedang dilanda banjir.
PAS, PN beruntung ada MB baik
Lokman juga mendakwa dia mempunyai bukti yang menunjukkan Ahmad Samsuri sedang bercuti bersama keluarganya di di Auckland, New Zealand pada 11 Dis dan hanya dijangka pulang pada 22 Dis.
Kata Ahmad Samsuri, dia meneliti suasana banjir ketika sebelum berangkat ke luar negara dan bencana itu menunjukkan penurunan.
“Manakala tanda kemuncak itu berlaku kemudiannya iaitu pada 18 hingga 21 haribulan, dan malangnya waktu puncak itulah yang saya berada di luar negara,” katanya.

Sementara itu, ditanya pandangannya terhadap kecaman laskar siber yang mendakwa dia sebagai menteri "besar yang haprak, lemah dan tidak guna" Ahmad Samsuri berkata, dia sebenarnya teruja dengan dakwaan berkenaan.
“Kalau beginilah seorang menteri besar yang lemah, haprak, sangat beruntunglah PAS dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai menteri besar yang haprak tapi boleh mentadbir negeri dengan begitu baik.
“…kalau haprak pun begini baik, kalau tak haprak tu (tentu) tersangat baik.
"Jadi tak ada sebab kenapa rakyat tak boleh buat pemilihan untuk beri keyakinan kepada PN dan bersama dengan PAS,” katanya.
Ahmad Samsuri turut berterima kasih kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri lain yang telah menyalurkan sumbangan dana kepada Terengganu.
Dia turut mengumumkan bantuan khas banjir kepada ahli-ahli keluarga yang terkesan dengan bencana tersebut.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/843d33f10f3cd12f0751216c7756525a.jpg)
