Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mengambil keputusan menolak pencalonan untuk bertanding timbalan presiden dalam Kongres Nasional parti itu di Seremban, Mei ini.

Selain itu, Azmin yang juga Pengarah Pilihanraya PKR mengumumkan tidak bertanding sebarang jawatan termasuk naib presiden yang dimenanginya dalam kongres nasional di Ipoh pada 2004.

"Ini satu keputusan yang sukar tetapi saya telah bertemu dan mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak termasuk penasihat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

"Saya juga turut mendapatkan pandangan dari pemimpin bahagian yang mencalonkan saya untuk jawatan tersebut, selain para penyokong saya," katanya dalam temubual dengan malaysiakini di pejabatnya di ibu negara semalam.

Berikutan itu, Azmin menyatakan sokongan padu kepada timbalan presiden, Dr Syed Husin Ali yang mengesahkan akan mempertahankan jawatan tersebut.

Beliau juga meminta semua pihak termasuk bahagian-bahagian yang mencalonkannya untuk bertanding jawatan timbalan presiden supaya menyokong Dr Syed Husin.

Kukuhkan perpaduan parti

"Saya menyatakan terima kasih dengan penyataan kepercayaan mereka, namun saya menegaskan bahawa saya belum bersedia memikirkan perkara tersebut dan meminta tenaga dan perhatian ditumpukan sepenuhnya untuk memperkasa PKR dan mengukuhkan perpaduan dalam parti.

"Sementara saya akur dengan kehendak dan keprihatinan ahli parti, saya juga berpegang teguh kepada pendekatan muafakat demi keharmonian parti," katanya.

Azmin berkata, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu (JKP) yang baru ditubuhkan bagi persediaan menghadapi pilihanraya umum nanti.

Anwar sendiri katanya, menjadi pengerusi jawatankuasa tersebut yang menggabungkan Angkatan Muda PKR, sayap Wanita, jawatankuasa pilihanraya dan biro penerangan parti.

Menurut Azmin, PKR telah membuat persediaan untuk mengisi kekosongan jawatan timbalan presiden sebaik Dr Syed Husin mengumumkan beliau mahu bersara dari politik dalam kongres parti yang diadakan di Pulau Pinang, September lalu.

Tetapi, katanya senario politik berubah sejak Dr Syed Husin mengumumkan akan mempertahankan jawatan nombor dua itu dalam satu perjumpaan di kalangan pemimpin parti yang diadakan Februari lalu.

Sehingga Ahad lalu, Azmin mendapat 26 pencalonan manakala Dr Syed Husin, 25.

Tonton video disini.