Ancaman Covid-19: KKM saran ambil vaksin penggalak
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Noor Hisham Abdullah menyarankan orang ramai agar mengambil dos vaksin penggalak terutamanya dalam kalangan barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.
Saranan itu dibuat susulan perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di China yang terus meningkat.
“Melihat kepada perkembangan terkini di China, KKM menyarankan kepada semua untuk mendapatkan dos vaksin penggalak terutamanya barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.
“Walaupun terkini kes dalam negara masih terkawal dan menurun, kita perlu mengambil tindakan bersiap siaga,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Saranan yang sama disuarakan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii dalam gesaannya supaya kerajaan memandang serius serta mengambil langkah berjaga-jaga ekoran jumlah peningkatan kes di China.
Antaranya, Yii mencadangkan kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah berjaga-jaga terhadap pelancong Malaysia ke China, sebagai tujuan langkah kecemasan sementara mengekang jangkitan berkenaan.
“Saya percaya kerajaan Malaysia wajar mempertimbangkan untuk melaksanakan beberapa sekatan untuk mengekang peningkatan jangkitan yang lebih cepat di negara ini, pada masa sama mengimbangkan antara keperluan ekonomi dan kehidupan terutamanya bagi perjalanan yang penting.
“Ia mungkin (seperti) memerlukan pelancong divaksin (jenis vaksin yang diterima akan dimuktamadkan) dan melakukan ujian Rt-PCR sekurang-kurangnya dua hari sebelum melancong.
“Semasa ketibaan, kita (kerajaan) boleh melaksanakan ujian RTK-Ag dan mereka yang disahkan positif akan dikuarantin selama tujuh hari di fasiliti yang ditetapkan dan sampel ujian akan digunakan untuk analisis genom (genome analysis),” katanya dalam hantaran di Facebook.
Yii turut memberi contoh beberapa negara seperti Jepun, AS, Itali, Korea Selatan dan India yang mengenakan sekatan tertentu bagi pelancong dari China.

Langkah itu diambil selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan kebimbangan terhadap tindakan republik terbabit memansuhkan dasar sifar Covid-19 dengan ketat.
“Mereka yang berhasrat untuk ke China juga mesti digalakkan untuk mendapat vaksin penggalak dan cuba menangguhkan mana-mana aktiviti pelancong yang tidak mustahak,” katanya.
Mengulas lanjut, Yii turut menyentuh keperluan data yang jelas berhubung ketersediaan katil-katil di unit rawatan rapi dan jabatan kecemasan dalam keadaan luar jangka sekiranya kes meningkat mendadak.
Selain menyarankan agar orang ramai digalakkan memakai pelitup muka terutamanya di tempat tertutup dan kawasan yang padat, dia turut meminta kerajaan mempertimbangkan pembelian vaksin Bivalent sebagai pilihan.

Menurut Yii langkah lain yang boleh diambil KKM ialah melakukan audit terhadap semua stok ubat antiviral seperti Paxlovid, Remdesivir atau Evusheld dan memperuntukkan kawasan berisiko tinggi sebanyak mungkin terutamanya di kawasan fasiliti kesihatan atau di mana-mana kawasan yang mempunyai jangkitan yang berisiko tinggi.
Katanya KKM turut boleh membuat peruntukan berapa ramai pesakit yang memerlukan ubatan tersebut.
"Pasukan petugas Covid-19 juga mesti bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan untuk meningkatkan kemudahan kecemasan kesihatan awam, pencegahan dan tindak balas terhadap ancaman kesihatan semasa dan berterusan seperti Covid-19," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/05/4c5a7291af71163842984ff8f575499a.jpg)
