Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes VLN: Pendakwaan terkilan Zahid dibebaskan

Pihak pendakwaan terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan menerima rasuah membabitkan Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Dalam petisyen rayuan difailkan semalam (29 Dis), pendakwa raya selaku perayu mengemukakan 14 alasan tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim Mohd Yazid Mustafa terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes tersebut.

Pendakwa raya mendakwa Mohd Yazid terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan ia gagal membuktikan kes prima facie dan gagal menilai secara menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan dihadapi timbalan perdana menteri itu.

"Hakim itu telah terkhilaf apabila menolak pembuktian elemen menerima suapan secara rasuah dan elemen mendapatkan benda berharga tanpa balasan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sedangkan terdapat keterangan lisan dan dokumen yang cukup serta kukuh untuk membuktikannya," kata pendakwa raya bagi mengetepikan keputusan mahkamah yang dibuat pada 23 Sept lepas.

Pendakwaan turut menyatakan hakim berkenaan tersalah arah ketika menolak keterangan mengenai penghantaran rasuah kepada Ahmad Zahid apabila membuat perbandingan fakta antara kes tersebut dengan kes rasuah Rosmah Mansor berhubung projek solar hibrid.

Menurut pendakwaan, hakim tersebut tersalah arah dalam menilai kredibiliti saksi-saksi pendakwaan apabila gagal mengambil kira bahawa mereka tiada motif jahat atau terselindung ketika memberikan keterangan mengenai pemberian atau penghantaran wang kepada timbalan perdana menteri itu.

“Hakim bicara terkhilaf apabila menolak bulat-bulat keterangan saksi pendakwaan bukan sahaja atas alasan rapuh dan tidak munasabah, malah mengambil kira keterangan yang tidak relevan, tidak pernah dikemukakan serta membuat rumusan berdasarkan keraguan yang diada-adakan.

“Hakim itu telah tersalah arah apabila gagal mengambil kira keterangan saksi pendakwaan bahawa sebuah lejer yang dikemukakan sebagai keterangan dokumen adalah satu dokumen semasa dan menolaknya secara total walaupun ada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebaliknya,” dakwa pendakwaan.

Rayuan pendakwaan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 10 Jan depan di Mahkamah Rayuan.

Pada 23 Sept lepas, Mohd Yazid membebaskan Ahmad Zahid, 69, yang juga presiden Umno, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Ahmad Zahid didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontraknya dengan Kementerian Dalam Negeri bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, ahli parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada syarikat sama yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

-Bernama

Lihat Komen
ADS