'Adakah PN dulu beri peruntukan sama rata pada pembangkang?'
Bekas ahli parlimen Umno Nazri Aziz mempersoalkan pemimpin PN sama ada mereka berlaku adil atau tidak berkenaan peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang ketika mereka di tampuk kerajaan.
Ia selepas beberapa ahli parlimen PN mahu kerajaan bersikap adil dengan menyalurkan peruntukan sama rata terhadap semua ahli parlimen.
"Kita tanya mereka balik, masa memerintah dulu mereka ada sebut tak hal ini. Adakah mereka terbuka hati untuk beri (peruntukan sama rata) kepada ahli parlimen pembangkang (ketika itu)? Tak ada.
"Janganlah bila kena baru nak cakap banyak," katanya kepada Malaysiakini.
Bekas ahli parlimen Padang Rengas itu diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau dari PN, Shahidan Kassim yang mendakwa kerajaan bersikap tidak adil kerana tidak memberi peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Jerantut dari PAS Khairil Nizam Khirudin juga menggesa kerajaan agar memberi peruntukan sama rata kepada semua kawasan parlimen.
Mengulas lanjut, Nazri berkata ia tidak bermakna kerajaan langsung tidak akan memberi peruntukan untuk kawasan parlimen di bawah pembangkang.
Dia berkata ahli parlimen pembangkang boleh menulis surat kepada perdana menteri untuk memohon peruntukan dan perdana menteri akan menilai jika apa-apa projek yang ingin dilaksanakan ahli parlimen itu perlu atau tidak.
Katanya lagi, ia antara lain untuk memastikan sebarang dana kerajaan yang disalurkan kepada ahli parlimen pembangkang tidak akan disalahgunakan untuk tujuan politik.
"Mereka tidak sebebas ahli parlimen kerajaan untuk gunakan wang. Kami (kerajaan) boleh putuskan (apa yang ingin dibuat), tapi mereka perlu tulis (permohonan). Namun wang tetap akan diberikan.
"Kalau kerajaan beri sejuta, (mereka tetap dapat) sejuta juga. Cuma kita nak pastikan perbelanjaan itu tidak beri kelebihan politik kepada mereka, sampai kita tahu (apa yang) dibelanjakan.
"Kita perlu berhati-hati, mereka mungkin guna dana untuk tujuan politik," katanya lagi.
Nazri berkata proses permohonan dana itu juga salah satu cara kerajaan untuk menarik pihak pembangkang untuk berbincang.
Tanpa proses itu, katanya, kerajaan tidak dapat membawa pembangkang ke meja perundingan.
Dia menjadikan perjanjian persefahaman (MOU) antara PH dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob pada 2021 sebagai contoh.
"Jadi pada saya, jawapannya adalah tidak. Kita tak perlu sama rata (antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang).
"Malah mereka begitu degil sekarang. Bukan nak berbaik, tapi nak berlawan. Kalau nak lawan, kita lawanlah," katanya lagi.
Peruntukan untuk rakyat
Namun pemimpin veteran PH dan juga ahli parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berpandangan berbeza, dengan menyokong cadangan agar semua ahli parlimen diberi peruntukan sama rata.
"Saya cadangkan buat undang-undang supaya semua 222 ahli parlimen diberi peruntukan sama rata.
"peruntukan kepada setiap ahli parlimen daripada kerajaan adalah untuk rakyat kawasan Parlimen. Rakyat telah pilih ahli parlimen tersebut sebagai wakil mereka, jadi jangan zalimi rakyat yang pilih pembangkang.

"Langkah ini juga satu bentuk reformasi institusi parlimen. Tak perlu lagi ada MOU lagi untuk ahli parlimen pembangkang untuk dapat peruntukan dari kerajaan.
"Peruntukan sama rata itu dapat mewujudkan susana puas hatidan adil di kalangan rakyat. Politik yang melampau akan berkurang," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
Katanya lagi, peruntukan sama rata akan meningkatkan keberkesanan pusat khidmat ahli parlimen dan mengelakkan amalan rasuah kerana ahli parlimen tidak lagi perlu bergantung kepada syarikat mahupun orang persendirian untuk memberi sumbangan.
Ahli dan parti politik juga tidak akan risau lagi untuk menjadi pembangkang kerana mereka tetap akan mendapat peruntukan dari kerajaan, dan ia akan mewujudkan suasana politik yang sihat, katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/07/23a97aefa76e12d3f6c103dae9ce7b39.jpg)
