Lim: Praya Machap uji sokongan pengundi Cina
Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap merupakan satu 'ujian percubaan' untuk pembangkang dan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya umum yang dijangka diadakan lebih awal, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap merupakan satu 'ujian percubaan' untuk pembangkang dan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) menjelang pilihanraya umum yang dijangka diadakan lebih awal, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Lebih penting lagi, kata pemimpin DAP itu, keputusan pilihanraya kecil itu nanti juga akan mencerminkan sokongan pengundi Cina kepada pembangkang dan juga parti kerajaan.
Machap merupakan kerusi di mana hampir separuh atau 45.7 peratus daripada pengundinya adalah kaum Cina, dengan 39.5 peratus lagi pengundi Melayu.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memberi laluan kepada DAP untuk meletakkan calonnya bertanding kerusi tersebut. Parti itu dijangka mengumumkan nama calonnya Jumaat ini.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin pengundi Cina di Machap akan menyokong BN dalam pilihanraya kecil bulan depan.
Kerusi DUN Machap kosong selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan tersebut, Datuk Poh Ah Tiam.
Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon diadakan pada 3 April dan hari pengundian pada 12 April depan.
Kubu kuat MCA
Najib, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, berdasarkan pilihanraya kecil yang lalu, pengundi Cina sentiasa menyokong parti kerajaan.
Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggambarkan bahawa BN tiada lagi mendapat sokongan besar daripada pengundi Cina.
Sebaliknya, kata Najib, pengundi Cina memahami bahawa hanya BN yang dapat memberi kesejahteraan hidup mereka.
Poh yang juga Pengerusi MCA Melaka itu merupakan seorang ahli politik veteran dan telah memenangi lima kali pilihanraya berturut-turut sejak 1986.
Mendiang terpilih sebagai Adun Pulau Sebang, dengan menewaskan calon DAP, dalam pilihanraya 1986 dan mengekalkan kerusi tersebut dalam pilihanraya 1990.
Selepas itu, mendiang memenangi kerusi Bukit Sedanan dalam pilihanraya 1995 dan sekali lagi berjaya mengekalkan kerusi tersebut, dengan menewaskan calon Keadilan, dalam pilihanraya 1999.
Manakala dalam pilihanraya umum 2004, Poh menewaskan calon DAP, Liou Chen Kuang dengan majoriti 4,562 undi bagi kerusi Machap.
- AFP

