Shahidan hanya mahu penjelasan PM, ‘Sany Hamzan tak layak’
Anggota parlimen Arau Shahidan Kassim berkata dia hanya perlukan penjelasan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang yang dibangkitkannya sebelum ini.
Malah bekas pemimpin Umno yang dipecat itu berkata, dia mendapat maklumat bahawa semua ahli parlimen kerajaan sudah mendapat peruntukan.
"Saya telah mendapat maklumat bahawa semua ahli Parlimen dari kerajaan telah mendapat peruntukan.
"Tetapi hingga ke hari ini tiada peruntukan yang diterima oleh pembangkang terutamanya negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
"Saya menuntut hak kami sebagai ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dia menjawab kenyataan anggota Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan yang menyanggah dakwaan Shahidan yang mendakwa kerajaan bersikap tidak adil kerana tidak memberi peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.
Main permainan: Belanja seperti MP
Mohd Sany semalam menyatakan kenyataan Shahidan itu sebagai melulu dan berniat jahat dan bertujuan untuk 'memancing' bagi menekan kerajaan agar pembangkang diberikan peruntukan sama rata melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan nanti.
Dia berkata kerajaan yang baru berusia sebulan belum membuat apa-apa keputusan mengenainya.
Sementara itu Shahidan menegaskan peruntukan kepada pembangkang itu bersesuaian dengan manifesto PH iaitu memberi peruntukan sama rata untuk semua ahli Parlimen.
"Saya tidak perlu mendengar penjelasan daripada ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak.
"Saya hanya perlukan penjelasan daripada perdana menteri. Selamat menjaga kesihatan dan semoga cepat sembuh Hulu Langat (Mohd Sany)," katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/e90a3c9ec39eeab82cd9f6e71aa6e0bb.jpg)
