Umno putuskan jemputan buat parti dalam kerajaan lusa
Soal sama ada parti yang pernah dimusuhi akan menjadi tetamu atau tidak sempena perhimpunan agung Umno (PAU) pertengahan bulan ini akan ditentukan tidak lama lagi.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata keputusan untuk memanjangkan jemputan kepada parti lain akan dibincangkan majlis kerja tertinggi (MKT) terlebih dulu.
Kata Ahmad, MKT Umno akan mengadakan mesyuarat bulanannya pada 5 Jan ini dan isu tersebut akan dibincang dan diputuskan.
“Kami akan bincang soal jemputan kepada parti-parti dalam kerajaan perpaduan (dalam mesyuarat itu nanti),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur, hari ini.
Umno - dan BN - kini merupakan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Untuk rekod Anwar merupakan pengerusi PH sekali gus presiden PKR. Kedua-dua parti itu merupakan seteru Umno sejak sekian lama.
Namun hasil PRU ke-15 yang diadakan pada 19 Nov lalu tiada mana-mana parti berjaya membentuk kerajaan secara sendirian.
Dua pindaan perlembagaan
Berbanding PRU sebelumnya, BN hanya mendapat 30 kerusi saja dalam PRU tersebut, jauh dari jumlah minimum 112 kerusi parlimen yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Ia mendorong PH - yang mendapat 82 kerusi - bekerjasama dengan BN dan mendapat sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Warisan, selain sejumlah ahli parlimen bebas.
Kerjasama itu membolehkan kerajaan perpaduan sekarang menguasai Dewan Rakyat dengan majoriti lebih daripada dua per tiga.
Keputusan BN itu juga menyaksikan buat pertama kali mereka membentuk kerjasama dengan PH yang dianggotai PKR, Amanah, DAP dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko).
Sebelum ini, PAS pernah menjadi tetamu kehormat Umno dalam perhimpunan agung tahunan mereka di sebalik perseteruan yang berlanjutan selama lebih separuh abad.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata Umno juga akan mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincang dan meluluskan dua pindaan pada perlembagaan mereka.

Katanya, perhimpunan agung khas itu akan diadakan pada Jumaat ini ataupun selepas ucapan dasar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam perhimpunan agung tahunan pada 13 Jan nanti.
Menurut Ahli Parlimen Pontian itu dua pindaan tersebut ialah bagi membolehkan ketua penerangan Umno di peringkat bahagian serta dalam sayap parti layak menjadi perwakilan PAU secara automatik.
Selain itu, kata Ahmad, pindaan itu juga bagi menyelaraskan keputusan untuk menggugurkan keanggotaan ahli Umno yang melompat parti selaras dengan akta antilompat parti yang berkuat kuasa sekarang.
“Pindaan satu mengenai ketua penerangan (bahagian termasuk) Wanita, Puteri, Pemuda Umno bahagian menjadi perwakilan secara automatik.
“Mereka menjadi pemerhati tahun ini, tahun depan (mereka menjadi) perwakilan secara automatik,” katanya lagi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/304af08ecda0f3a697e07d0d877a3f7d.jpg)
