Bayaran tambahan di sekolah di luar bidangkuasa kementerian
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menetapkan sendiri kadar bayaran tambahan yang dikutip di sekolah masing-masing dan ia adalah di luar bidangkuasa Kementerian Pelajaran.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menetapkan sendiri kadar bayaran tambahan yang dikutip di sekolah masing-masing dan ia adalah di luar bidangkuasa Kementerian Pelajaran.
Kerana itulah, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, wujudnya kadar bayaran tambahan yang tidak seragam di sekolah.
Sebilangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), katanya, mengambil inisiatif sendiri dalam menetapkan pelbagai bayaran tambahan bagi melaksanakan program khas untuk anak-anak mereka di sekolah.
Bernama memetik Noh sebagai berkata, kerajaan hanya menetapkan yuran yang wajib dibayar - yuran khas, yuran tambahan dan yuran asrama (jika murid tinggal di asrama).
"Selain tiga yuran tersebut, kutipan lain dianggap sebagai bayaran tambahan dan pihak sekolah tidak boleh menyenaraikannya sebagai yuran sekolah.
Yuran maksimum
"Ini termasuk sumbangan PIBG, kelab komputer, keperluan asrama, kelas tambahan dan alat tulis," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, yuran maksimum yang wajib dibayar di sekolah rendah untuk Tahun Satu hingga Lima adalah RM31.50 setahun dan Tahun Enam RM33.50 setahun.
Bagi sekolah menengah pula, katanya, yuran wajib bagi pelajar Tingkatan 1, 2, 4 dan 6 Bawah, hanyalah RM39 setahun, Tingkatan 3 (RM49), Tingkatan 5 (RM52) manakala Tingkatan 6 Atas (RM54).
"Namun demikian, kita telah beri penekanan bahawa segala urusan PIBG jangan menyebabkan pelajar terjejas sehingga tidak dapat melanjutkan pelajaran atau keciciran," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Wan Azmi Wan Ariffin (BN-Sik).

