Badan perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah sedang menunggu laporan dari bahagian Kulim-Bandar Baru mengenai pembatalan mesyuarat bahagian tersebut yang sepatutnya diadakan pada 18 Mac lalu.

Manakala PKR bahagian tersebut pula berkata, pihaknya juga sedang menunggu surat kebenaran daripada PKR negeri untuk membolehkannya mengadakan mesyuarat pemilihannya Rabu ini.

Ketika dihubungi hari ini, Setiausaha PKR Kedah, Abdul Hamid Othman memberi amaran, sekiranya Kulim-Bandar Baru meneruskan mesyuaratnya Rabu ini, maka pendaftaran bahagian itu boleh dibatalkan.

"Jika mereka terus berdegil, PKR negeri tidak bertanggungjawab jika pendaftaran Kulim-Bandar Baru dibatalkan," katanya.

Abdul Hamid berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR sepatutnya mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut semalam tetapi telah ditunda kepada Sabtu ini.

Katanya, kegagalan menghantar laporan kepada PKR negeri telah dimaklumkan kepada ibu pejabat PKR pusat.

Sementara itu, Ketua PKR bahagian Kulim-Bandar Baru, Alwi Yusof pula berkata, beliau telahpun memaklumkan mengenai penangguhan mesyuarat tersebut kepada Abdul Hamid dan juga ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Perlu kebenaran khas

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak membuat laporan bertulis, tetapi sebaliknya telah memaklumkan perkara itu kepada Abdul Hamid dan ibu pejabat melalui panggilan telefon.

Alwi yang juga Timbalan Pengerusi 2, PKR Kedah memberitahu malaysiakini hari ini, jika surat tersebut gagal diperolehi esok, maka mesyuarat bahagian itu terpaksa ditunda sekali lagi.

Bagaimanapun, katanya, bahagian Kulim-Bandar Baru mempunyai tempoh sehingga Sabtu ini untuk mengadakan mesyuarat tersebut.

"Mesyuarat juga boleh diadakan selepas 31 Mac dengan syarat mendapat kebenaran khas dari setiausaha agung parti," katanya sambil menambah, beliau akan menemui Abdul Hamid petang ini berhubung perkara tersebut.

Mesyuarat bahagian Kulim-Bandar Baru yang sepatutnya diadakan pada 18 Mac lalu telah ditangguhkan oada saat akhir atas alasan teknikal.

Berikutan itu, bahagian tersebut sedang menunggu kebenaran PKR negeri untuk mengadakan mesyuarat baru Rabu ini.

PKR Kulim-Bandar Baru mempunyai 52 perwakilan dari 14 cawangan.