Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah mencadangkan kerajaan memperhalusi undang-undang anti-lompat parti berikutan kemelut politik di Sabah yang berpunca daripada tindakan empat ahli parlimen keluar daripada Bersatu.

Berucap pada Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, Cheah berkata pindaan perlembagaan tahun lepas hanya digubal untuk menangani isu politik pada masa itu.

Katanya sebelum pindaan anti-lompat parti, Badan Peguam telah membangkitkan kebimbangan kepada Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Parlimen dan Undang-undang berhubung kemungkinan penyalahgunaan yang mungkin timbul akibat peletakan jawatan dan penyingkiran daripada parti politik.

“Sejak PRU15, kita telah melihat cara yang lebih kreatif di mana ahli politik (berusaha) memintas rangka undang-undang anti-lompat pada masa ini.

“Kita kini berhadapan dengan teka-teki baru dengan isu yang jauh lebih kompleks seperti mereka yang melompat dalam gabungan parti pada satu sudut kepada gabungan parti dari sudut yang lain. Peristiwa baru-baru ini di Sabah adalah contoh yang jelas tentang isu-isu baru yang muncul di hadapan kita.

"Dalam premis ini, kami menganjurkan pindaan legislatif dibuat untuk menangani kerumitan situasi baru selepas PRU15, untuk menjelaskan dan menangani kemungkinan penyalahgunaan, bagi mewujudkan proses demokrasi yang berwibawa dan kerajaan yang stabil," katanya.

Pada 10 Dis tahun lepas, Bersatu Sabah dilaporkan lumpuh selepas pengerusinya Hajiji Noor mengumumkan pemimpinya kelur parti dan berhasrat menubuhkan parti baru. Sementara itu, katanya mereka akan menjadi ahli gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dilaporkan tindakan itu akan menguji sejauh mana keberkesanan undang-undang anti-lompat parti.

Kemelut di Sabah bertambah rumit berikutan terdapat usaha untuk menggulingkan Hajiji sebagai ketua menteri.