Pegawai khas hal ehwal kaum India di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Ramesh Rao meminta Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dari seluruh negara menghubunginya jika terdapat pelajar miskin di sekolah-sekolah berkenaan.

Ramesh Rao berkata ini bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka yang tidak berkemampuan bagi membeli barangan keperluan seperti buku dan pakaian sekolah.

"Inisiatif ini dibuat dengan usaha sendiri supaya ia dapat diagihkan dengan segera memandangkan bantuan melalui peruntukan kerajaan akan mengambil sedikit masa.

"Saya mulakan usaha ini awal supaya mereka dapat dibantu ketika sesi persekolah masih di peringkat awal dan akan menggunakan peruntukan sendiri yang ada untuk bantu mereka.

"Usaha untuk melahirkan individu cemerlang dalam pendidikan perlu dimulakan segera dan segala masalah yang dihadapi untuk menjalani sesi persekolahan wajar dibantu sepenuhnya segera untuk mereka belajar dengan sempurna," katanya dalam kenyataan.

Menurut Ramesh, dia boleh dihubungi di talian 012-3560105 dan 016-3112371.

Untuk rekod, Ramesh merupakan pemimpin NGO pro-BN sebelum dilantik sebagai pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid sebelum ini berkata Ramesh diberi tanggungjawab untuk menjaga kebajikan masyarakat India di seluruh negara ini tanpa mengira fahaman politik mereka.