Kerajaan semak cadangan hukuman alternatif bagi mati mandatori
Kerajaan, melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-undang meneliti dan menyemak cadangan hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori.
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Ramkarpal Singh berkata cadangan daripada pelbagai kumpulan berhubung perkara itu akan diambil kira, bagi memastikan keadilan ditegakkan dan kedaulatan undang-undang menjadi keutamaan.
Katanya, ini termasuk cadangan sebelum ini oleh jawatankuasa khas, yang diketuai oleh bekas ketua hakim negara Richard Malanjum, dan sesi penglibatan dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan pihak CSO/NGO.
“Proses ini perlu menitikberatkan aspek perundangan oleh itu, pindaan undang-undang yang berkaitan akan dimuktamadkan dengan segera memandangkan pindaan-pindaan ini dijadualkan untuk dibentang di Dewan Rakyat pada persidangan yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil menambah bahawa cadangan lanjut daripada pihak berkepentingan dialu-alukan.
Kenyataan Ramkarpal itu dibuat selepas presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah menggesa kerajaan untuk menyelamatkan 1,327 banduan yang kini menunggu hukuman mati.
Pada masa ini, terdapat moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi banduan.
Ramkarpal berkata, dia yakin penyelesaian terbaik akan dilaksanakan untuk 1,327 banduan berkenaan, sambil memastikan kepentingan semua pihak akan diambil kira.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori pada persidangan parlimen Februari ini.
Tujuh rang undang-undang telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Oktober untuk membuat pindaan yang diperlukan kepada undang-undang berkaitan, sejajar dengan langkah Malaysia untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.
Ia adalah Rang Undang-undang Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Penculikan (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Senjata (Pindaan) 2022).
Tiga lagi ialah Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2022, Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.3) 2022, dan Rang Undang-undang Senjata Api (Penalti Ditingkatkan) (Pindaan) 2022.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/12/591766ccab32d2813d4a66952981a4c9.jpg)
