Polis siasat dakwaan kamera tersembunyi di bilik persalinan
Polis melancarkan siasatan terhadap laporan bahawa terdapat kamera tersembunyi dipasang di bilik persalinan premis menjual pakaian di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Ini selepas seorang pengguna Twitter membuat laporan polis mengenai klip tular rakaman daripada kamera yang didakwa. Video itu telah dipadam dari laman media sosial setelah itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya dalam satu kenyataan berkata laporan itu dibuat pada Isnin dan siasatan sedang dijalankan.
"Siasatan awal sedang dijalankan bagi mengenal pasti tarikh dan lokasi kejadian tersebut berlaku. Perbuatan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
"Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak melakukan perkara yang melanggari undang-undang dan mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Fikri Bin Abdul Manan di talian 013-4149917 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, sesiapa yang dengan sengaja menghina kehormatan seorang wanita melalui pertuturan, bunyi, isyarat atau paparan objek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/968a9ecda9e5dbc8b64c552848fe5d59.jpg)
