'Saranan perlembagaan edisi BM dijadikan versi muktamad perlu dilihat mendalam'
Cadangan Peguam Negara Idrus Harun untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Melayu sebagai versi muktamad (authoritative) bagi undang-undang tertinggi di Malaysia perlu dilihat mendalam, kata pemimpin DAP M Kulasegaran.
Ahli parlimen Ipoh Barat itu berkata bahawa perlembagaan persekutuan versi bahasa Melayu bukan terjemahan yang tepat.
"Saranan peguam negara perlu dilihat lebih mendalam. Kalau kita lihat terjemahan bahasa Melayu bukan versi yang tepat.
"Oleh itu, versi bahasa Melayu yang ada sekarang perlu dirombak secara keseluruhan kerana saya percaya ada yang tidak betul," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, pada pembukaan Tahun Undang-undang 2023, Idrus berkata perlembagaan bertindak sebagai asas dalam melaksanakan pengasingan kuasa antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman.
"Oleh itu, bagi tahun 2023, menurut Perkara 160A Perlembagaan Persekutuan, AGC bercadang untuk mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan perlembagaan bersejarah terkini.
"AGC juga bercadang untuk mencadangkan kepada kerajaan supaya preskripsi Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan menjadi teks rasmi selaras dengan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Katanya, kedua-dua rancangan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Kulasegaran yang juga seorang peguam berkata bahawa peguam negara tidak boleh membuat sebarang kenyataan dengan keterujaan yang tidak perlu.
"Ada begitu banyak seksyen dan fasal lain dalam perlembagaan yang akan memberikan makna yang berbeza.
"Oleh itu, ini bukan hanya permainan mudah seolah-olah anda lakukan terjemahan dan saya akan terima," katanya.
Bekas menteri sumber manusia itu juga mencadangkan bahawa satu jawatankuasa peringkat tertinggi perlu diwujudkan untuk meneliti cadangan menjadikan Perlembagaan Persekutuan edisi bahasa Melayu sebagai versi muktamad.
"Saya menggesa jawatankuasa peringkat tinggi bersama-sama ahli parlimen, sebuah jawatankuasa pilihan sepatutnya ditubuhkan.
"Jadi, ahli parlimen yang mempunyai pengalaman bersama dengan majlis peguam dan orang berkepentingan yang lain boleh memberi cadangan menyentuh semua perkara sebelum kita ada perlembagaan dalam bahasa Melayu yang tepat. Biarkan parlimen mengusahakannya dan melihat dari sana," katanya.
Katanya, keputusan berhubung perkara itu tidak boleh dibuat dengan tergesa-gesa.
"Ini bukan tentang bahasa atau budaya. Ini semangat perlembagaan persekutuan. Mesti mengambil kira negara berbilang kaum, dan sensitiviti setiap kaum," katanya.
Malay Mail melaporkan awal tahun lepas semasa perbicaraan Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan 2018 yang terkenal membabitkan kes penukaran agama unilateral antara guru tadika M Indira Gandhi dan bekas suaminya yang memeluk Islam, mahkamah tertinggi menyebelahinya dengan bersetuju bahawa versi bahasa Inggeris Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan mengatasi edisi Bahasa Malaysia, sekali gus melarang bekas suaminya mengislamkan tiga anaknya tanpa persetujuannya juga.
Versi Bahasa Inggeris Artikel 12(4) menggunakan istilah 'ibu bapa atau penjaga', manakala terjemahan bahasa Malaysia peruntukan itu berbunyi sebagai 'ibu atau bapa'.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam rayuan terhadap tindakan undang-undang seorang ibu Hindu untuk membatalkan penukaran agama Islam secara unilateral terhadap tiga anaknya, telah membangkitkan kemungkinan Perlembagaan Persekutuan versi bahasa Melayu adalah yang autoritatif dan membantu dalam rayuannya.
Kulasegaran bertindak sebagai peguam kepada Indra Gandhi.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/26906358affbb5acf88c07b53cda2984.jpg)
