Tiada sebarang pembaharuan mahupun perkara yang hebat dilakukan Muhammad Sanusi Md Nor sepanjang mentadbir negeri Kedah, kata Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid.

Sebaliknya, kata Mahdzir, Sanusi hanyalah meneruskan sistem pentadbiran kerajaan Umno-BN sebelum ini di negeri jelapang padi itu.

Malah, mengenali Sanusi secara peribadi, Mahdzir berkata pemimpin PAS itu hanya kuat memerli, lantang bersuara dan sesekali bercakap besar sahaja.

"Sistem yang ada di Kedah itu sebenarnya sistem yang dipelopori oleh BN puluhan tahun lalu. Jadi, apabila Sanusi datang sebagai menteri besar dua tahun lalu maknanya dia ikut saja apa yang ada.

"Tapi saya tak fikir ada benda yang baru, yang hebat, yang berlaku di Kedah.

"Cumanya, cakap dia sajalah yang lantang, perli pun kuat, tapi itu memang gaya dia. Dia memang cakap macam itu, tapi sesekali dia cakap besar jugalah," katanya kepada pemberita dalam pertemuan bersama media di pejabat Naib Presiden Umno itu sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid.

Mahdzir berkata demikian mengulas pentadbiran Sanusi di Kedah.

Mengulas lanjut, Madhzir turut mengambil contoh apa yang dikatakan Sanusi baru-baru ini.

Sanusi sebelum ini dilaporkan berkata Perikatan Nasional (PN) Kedah yakin mampu memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Sanusi yang juga pengerusi PN Kedah berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi dan keputusan diperoleh PN pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 lepas.

"Saya kenal dia secara peribadi, jadi saya tahu kelakuan dia begitu.

"Jadi, bila dia cakap contohnya akan ambil 33 kerusi daripada 36 kerusi di Kedah, mungkin dia cakap berdasarkan pilihan raya umum lalu, tetapi kita juga yakin untuk sesebuah kerajaan negeri membangun ia sepatutnya bersama dengan kerajaan persekutuan.

"Tapi, kini dia pembangkang, bolehlah dia buat dan dari segi perlembangan kerajaan persekutuan kena tolong juga walapun negeri pembangkang tetapi maksudnya kalau rakyat Kedah boleh fikir kalaulah di Kedah juga ada kerajaan perpaduan yang jadi kerajaan negeri sudah tentu lebih mudah untuk mereka menikmati apa juga fasiliti daripada kerajaan persekutuan," jelasnya.

Parlimen dibubarkan pada 10 Okt tahun lepas bagi memberi laluan PRU ke-15 diadakan. Hanya Pahang, Perak dan Perlis mengadakan pilihan raya peringkat DUN bersekali dengan Parlimen berikutan langkah ketiga-tiga negeri berkenaan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Negeri diterajui PH iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta negeri diteraju PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah memutuskan tidak membubarkan DUN.

Kedah mempunyai keseluruhan 36 DUN dan mandat kerajaan negeri hanya akan berakhir pada Julai ini.