Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil menegaskan sesiapa saja terbuka untuk bertanding jawatan utama parti itu meskipun 140 ketua bahagian menggesa supaya tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Isham menyarankan siapa yang berhasrat untuk merebut jawatan utama itu supaya segera membuat pengumuman, apatah lagi ketika Perhimpunan Agung Umno berlangsung.

"Ini tak bermaksud kita nak halang sesiapa untuk bertanding. Kita tiada apa-apa cadangan untuk meminda perlembagaan bagi menghalang pemilihan.

"Ada beberapa pihak kata kita cuba tak bagi bertanding itu tak betul, kita tak ada halangan sesiapa pun nak bertanding.

Zahid Hamidi dalam PAU

"Mungkin sesiapa yang nak bertanding jawatan tertinggi, presiden, timbalan presiden dan tiga  naib presiden saya harap mereka umum awal. Ini cadangan saya, tak perlu sorok.

"Ketika perhimpunan agung Umno semua perwakilan ada siapa nak bertanding umumlah. Lagi awal, lagi bagus," katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Lewat malam tadi, seramai 140 ketua Umno bahagian menyatakan solidariti supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan diadakan tahun ini.

Wakil mereka, Mohd Shafie Abdullah yang juga ketua Umno Wangsa Maju berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara bagi mengelak perpecahan dalaman terus berlaku.

Siasat siapa sabotaj parti

Sementara itu ditanya mengenai gesaan sayap parti supaya pengkhianat disingkirkan daripada Umno, Isham berkata Umno akan bertindak kepada mana-mana ahli yang melanggar disiplin parti.

"Sesiapa yang ada masalah disiplin dalam parti, Umno ada proses perlu dilalui, kita siasat tak boleh terus buat keputusan.

"Proses-proses itu penting, kalau betul ada masalah disiplin atau sabotaj parti mereka akan disiasat," katanya lagi.