Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan kerajaan negeri bagi mengembalikan agama Islam seorang wanita berusia 35 tahun.

Dalam keputusan majoriti dua-satu, panel hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Yaacob Md Sam (yang membuat keputusan majoriti bersama Mohd Nazlan Mohd Ghazali) membenarkan rayuan berkenaan berhubung kes seorang wanita yang dilahirkan oleh bapa beragama Hindu dan ibu beragama Buddha yang kemudiannya memeluk agama Islam, kepada Islam.

Seorang lagi hakim, P Ravinthran membuat keputusan tidak bersetuju.

Mais dan kerajaan negeri Selangor mengemukakan rayuan bagi membantah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam (bidang kuasa sivil) 2021 yang membenarkan permohonan wanita itu bagi membatalkan pemelukan Islam ketika dia masih muda.

Pada tahun 1991, ibunya - yang kemudian berpisah dengan bapanya yang beragama Hindu - memeluk agama Islam dan meminta bantuan Jabatan Agama Negeri Selangor (Jais) untuk mengislamkan wanita itu - ketika dia berusia 5 tahun.

Dua tahun kemudian, Jais mengeluarkan sijil penukaran agama kepada wanita itu. Bagaimanapun, ibunya - setelah berkahwin dengan seorang lelaki Islam ketika itu - membenarkannya untuk terus mengamalkan ajaran Hindu.

Mahkamah syariah sejak itu menafikan permohonanya untuk membatalkan penukaran agama kepada Islam.

Ketika membacakan keputusan majoriti pagi ini, Nazlan berkata rayuan berkenaan dibenarkan kerana ia membabitkan kes keluar agama Islam, yang terletak bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Dia berkata Mahkamah Tinggi Shah Alam (bidang kuasa sivil) tidak mempunyai kuasa untuk mendengar isu keluar agama kerana mahkamah sivil itu hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes di mana seseorang itu tidak pernah beragama Islam pada awalnya.

Dia berkata mahkamah sivil hanya boleh mendengar kes seseorang yang bukan beragama Islam sejak awal.

Nazlan berkata keutamaan Mahkamah Persekutuan, melalui keputusan penting seperti rayuan dalam kes Rosliza Ibrahim, meletakkan perbezaan yang kukuh antara kes di mana seseorang yang tidak lagi menganut agama Islam dan seseorang yang tidak pernah menganut agama Islam.

“Ia mesti dihargai dalam kes bahawa status agama responden telah ditentukan oleh Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah di Kuala Lumpur.

“Undang-undang seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pengasingan semula sesuatu perkara yang dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah,” katanya.

Dia berkata mahkamah sivil tidak boleh menjadi platform untuk pihak yang terkilan mengkaji semula keputusan Mahkamah Syariah yang telah diputuskan dengan betul.

Nazlan menegaskan bahawa fakta dalam kes ini menunjukkan wanita itu tidak mahu menukar status Islam pada MyKadnya apabila usianya mencecah 18 tahun, sebaliknya mencabar perkara itu di Mahkamah Syariah beberapa tahun kemudian ketika dewasa.

“Responden tidak membuktikan terdapat cabaran terhadap penukaran agamanya ketika dia masih kecil atau pun oleh mendiang bapanya (yang beragama Hindu).

"Ini menguatkan dakwaan perayu bahawa aduan responden hanya berbangit kemudian (afterthought) dan menguatkan anggapan bahawa dia berniat untuk meninggalkan agama dan bukan kerana tidak pernah berada dalam agama itu," kata Nazlan.

[Baca berita penuh]