Beri tempoh untuk audit forensik institusi berkaitan masyarakat India - PKR
Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu diberi tempoh yang secukupnya untuk melaksanakan tugasnya selaku perdana menteri.
Kerajaan memerlukan tempoh secukupnya untuk melaksanakan audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat India, kata Naib Presiden K Saraswathy.
"Saya ingin mengingkatkan bahawa mandat rakyat kepada Anwar adalah lima tahun.
"Beliau baru dalam awal bulan kedua semenjak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

“Saya yakin beliau akan memberi tumpuan kepada semua perkara mengikut turutan kepentingan," katanya kepada Malaysiakini.
Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu S Subramaniam pada 8 Januari mengungkit janji Anwar Ibrahim untuk melaksanakan audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat India.
Tiga institusi berkaitan masyarakat India tersebut adalah syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).
Anwar sebelum ini berkata masyarakat India di Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi tersebut.
MIC menubuhkan Maika Holdings pada awal 1980-an sebagai syarikat pelaburan dengan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham - kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur - sesetengahnya ada yang membuat pinjaman dan menjual aset - selama bertahun-tahun.
Keadaan kewangannya bertambah buruk pada tahun 1990-an apabila Maika sepatutnya membeli 10 juta saham Telekom, namun hanya sejuta unit saham mampu dibeli.
Mitra pula pada awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic). Ia dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak untuk meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.
Sedic dibubarkan apabila BN tumbang pada PRU14 dan dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) ketika pentadbiran kerajaan PH.
Selepas kerajaan PH tumbang dan diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), Mitra diletakkan bawah Kementerian Perpaduan.
Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang didakwa terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.
Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.
/file/1152/d3275023074bdccb4d8bee9fc14c266b.jpeg)
