Pegawai Zahid meninggal dunia
Pegawai khas hal ehwal kaum India di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Ramesh Rao dilapor meninggal dunia.
Ramesh, 52, meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya selepas dipercayai mengalami serangan jantung.
Kematiannya disahkan pejabat timbalan perdana menteri.
Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Menurut Zahid, dia amat menghargai jasa mendiang kepada masyarakat dan negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.
"Dengan perasaan sedih dan dukacita, saya dan seluruh warga pejabat timbalan perdana menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ramesh Rao a/l KrishnaNaidu, pegawai khas yang meninggal dunia pada awal pagi tadi.
“Semoga ahli keluarga, kenalan dan rakan taulan mendiang tetap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan kehilangan insan yang mereka sayangi,” kata Zahid.
Bulan lalu Zahid mengumumkan Ramesh, yang juga presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, dilantik sebagai pegawai khas bagi menjaga kebajikan masyarakat India.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/b3601e5574137c6cf24eb86ec31bd44f.jpg)
