9 Mac - Pendengaran bagi batalkan saman LFL terhadap menteri S’pura
Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran berhubung permohonan kerajaan untuk membatalkan tuntutan Lawyers for Liberty (LFL) terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam kepada kepada 9 Mac depan.
Mahkamah juga menangguhkan ke tarikh yang sama untuk mendengar permohonan kebenaran rayuan kerajaan bagi membatalkan saman LFL lain yang mensasarkan percubaan ke atas Singapura untuk menguatkuasakan undang-undang antiberita palsu terhadap kumpulan itu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hasnah Mohammed Hashim menetapkan tarikh perbicaraan baru semasa prosiding mahkamah yang berlangsung secara dalam talian pagi ini.
Rakan-rakan ahli panel lain adalah Hakim Mary Lim Thiam Suan dan Rhodzariah Bujang.
Hasnah kemudian memaklumkan wakil kerajaan Malaysia dan LFL bahawa panel hakim perlu melihat alasan penuh Mahkamah Rayuan.
"Kami memerlukan alasan penghakiman dalam perkara ini," kata Hasnah kepada Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan peguam Shahid Adli Kamarudin, masing-masing mewakili kerajaan dan LFL.
Alasan itu berkaitan dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 20 Julai tahun lalu yang membenarkan rayuan LFL untuk mengembalikan semula dua tindakan sivil kumpulan tersebut.
Mahkamah Rayuan pada 2021 membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak saman kumpulan hak asasi manusia itu terhadap Shanmugam.
Sekiranya mahkamah persekutuan memberikan kebenaran, seterusnya ia akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujahan lisan mengenai merit rayuan yang melibatkan kedua-dua saman itu.
LFL mengemukakan saman terhadap Shanmugam kerana kerajaan Singapura mengeluarkan "arahan pembetulan" terhadap kumpulan itu atas dakwaan (kumpulan) mereka mengenai layanan republik itu terhadap tahanan.
“Arahan pembetulan” dikeluarkan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma)
Saman kedua LFL bertujuan untuk menghalang kerajaan Malaysia daripada membantu Singapura untuk menguatkuasakan Pofma terhadap kumpulan itu.
Pengeluaran "arahan pembetulan" oleh Singapura di bawah Pofma dibuat selepas kumpulan itu menerbitkan butiran mengenai tahanan Malaysia yang dihukum mati dengan cara yang dikatakan kejam dan menyalahi undang-undang di Penjara Changi pada 16 Jan 2020.
“Arahan pembetulan” dikeluarkan oleh kerajaan Singapura kepada pihak yang bersalah untuk membuat notis pembetulan bagi penerbitan yang dianggap palsu atau salah dan juga menyediakan akses kepada fakta yang betul.
Dalam kenyataan di portal rasminya, pada 2020, kerajaan Singapura mendakwa bahawa dakwaan LFL mengandungi "kenyataan palsu".
Kementerian Dalam Negeri Singapura menyifatkan dakwaan itu sebagai "tidak benar, tidak berasas dan tidak masuk akal", sambil menambah bahawa semua pelaksanaan kehakiman di negeri itu dilakukan dengan mematuhi undang-undang yang ketat.
Ia mengarahkan pejabat Pofma untuk mengeluarkan "arah pembetulan" terhadap kenyataan LFL di laman webnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/10/2312b174193a38eef23df5d28d3c2bf0.jpg)
