Machap: PAS tidak akan tikam dari belakang...
Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chao mendakwa, desas-desus yang mengatakan PAS Melaka akan meletakkan seorang calon bebas keturunan Cina bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), dicetuskan oleh Barisan Nasional (BN) untuk memecahbelah parti pembangkang.
Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chao mendakwa, desas-desus yang mengatakan PAS Melaka akan meletakkan seorang calon bebas keturunan Cina bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), dicetuskan oleh Barisan Nasional (BN) untuk memecahbelah parti pembangkang.
"Ianya hanyalah khabar angin...PAS tidak akan menikam dari belakang," kata Hu yang juga bekas anggota kerajaan tempatan di Kelantan yang diperintah oleh PAS.
Hu berkata, PAS tidak pernah berbuat demikian sejak penubuhannya dan sentiasa berterus terang apabila berurusan dengan pihak lain.
"PAS tidak akan berbuat demikian kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam. Bagi saya, mereka yang cuba menyebarkan berita tersebut adalah dari BN untuk memecahbelahkan parti-parti pembanakng," tambahnya.
"Selama ini, PAS tidak pernah bertanding di Machap. Jadi, tiada gunanya meletakkan calon dan membazir wang tanpa sebab. PAS sedang menumpukan kepada pilihanraya umum," katanya.
DAP: Terpulang pada PAS
Semalam, sumber-sumber memberitahu malaysiakini bahawa PAS Melaka berhasrat meletakkan seorang calon bebas dalam pilihanraya kecil Machap.
Katanya, ia didorong oleh perasaan kecewa pemimpin parti itu dengan sikap DAP yang didakwa tidak menghormati parti pembangkang itu.
Menurut sumber-sumber itu lagi, PAS Melaka sangat kecewa dengan tindakan DAP memburuk-burukkan parti itu dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina.
Sementara itu, Pesuruhjayanya, Abdul Ghani Abdul Rahman mengesahkan PAS Melaka memutuskan tidak akan membantu DAP dalam menghadapi pilihanraya kecil Machap pada 12 April depan.
Manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia terpulang kepada PAS dan menambah bahawa partinya bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menghadapi pilihanraya kecil Machap.
Walaupun berulangkali ditanya, Lim tetap enggan menyatakan sama ada akan bekerjasama dengan PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.
"Fokus kita adalah untuk memberi saingan paling maksimum kepada BN, dengan kerjasama PKR," kata Lim ketika dihubungi hari ini.
Bekas rakan BA
Ketua Penerangan PKR, Tian Chua turut menolak kemungkinan PAS Melaka akan meletakkan calon bebas di Machap.
"Saya tidak fikir mereka akan berbuat demikian," kata Chua ketika dihubungi.
DAP pernah menyertai Barisan Alternatif (BA) gabungan parti pembangkang bersama PAS dan PKR.
Bagaimanapun, DAP tidak bersetuju dengan hasrat PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam dan meninggalkan BA pada tahun 2001.
Machap merupakan kawasan yang mempunyai pengundi majoriti kaum Cina (45.7%) manakala 39.5 peratus lagi adalah pengundi Melayu.
Kerusi Machap kosong selepas kematian Adun MCA, Datuk Poh Ah Tiam, 55, pada Mac 15. Setakat ini, DAP dan MCA berkata mereka akan meletakkan calon masing-masing bertanding dalam pilihanraya kecil itu. Berita asal

