Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Pasir Gudang harap tindakan susulan isu ‘kebocoran RM4 bilion’
Diterbitkan:  Jan 19, 2023 2:40 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim meletakkan harapan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tindakan susulan pendedahan wujudnya ketirisan wang sehingga RM4 bilion kepada parti atau tokoh tertentu.

Menurutnya, tindakan susulan seterusnya ialah siasatan segera secara menyeluruh oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Rakyat dan ahli-ahli parlimen akan menyokong usaha perdana menteri untuk membanteras rasuah.

"Saya ingin mengingatkan bahawa pendedahan demi pendedahan hal rasuah, ketirisan,kebocoran tidak akan sampai ke mana-mana jika tiada tindakan siasatan dan pendakwaan dilakukan.

"Saya berharap perdana menteri membuat tindakan susulan dari pendedahannya bahawa beliau Mengenal pasti ketirisan wang RM3 bilion hingga 4 bilion 'bocor' kepada parti dan tokoh tertentu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah ahli parlimen PKR itu, dalam memerangi rasuah, kaedah sekadar retorik sahaja tidak diperlukan.

"Yang diperlukan ialah siasatan secara forensik ke akar umbi hal ketirisan dan kebocoran itu berlaku.Kerana ini duit negara dan duit rakyat.

"Siasatan sahaja pun tak ada guna jika fail siasatan ditutup tanpa pendakwaan," katanya.

Hassan menegaskan pendakwaan terhadap kes rasuah juga mesti dijalankan dengan cekap dan profesional.

"Kes yang hendak dibawa ke mahkamah itu mestilah kukuh dari segi fakta dan undang-undang supaya penjenayah kolar putih ini tidak boleh terlepas.

"Apapun, permulaan yang baik dan positif telah diambil inisiatif oleh Anwar. Maka agensi-agensi lain seperti SPRM, PDRM dan Jabatan Pendakwa Raya serta peguam negara tidak boleh sekadar berpeluk tubuh sahaja," ujarnya.

Terdahulu Anwar berkata dia mengenal pasti 'kebocoran' kewangan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion selepas dua bulan berada di Kementerian Kewangan.

Anwar berkata, kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM10 bilion daripada kebocoran seumpama itu jika ada kerjasama terutama di kementerian penting itu.

"Kita mengalami kebocoran yang tinggi dalam dua bulan saya di Kementerian Kewangan. Saya boleh kenal pasti antara RM 3 bilion ke RM 4 bilion boleh diselamatkan, yang bocor kepada parti, dan tokoh politik," katanya Selasa lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS