DAP akan mengumumkan di Machap esok nama calon parti pembangkang itu yang akan bertanding dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada 12 April ini.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jawatankuasa pemilihan yang dianggotai oleh pengerusi DAP, timbalan pengerusi DAP dan beliau sendiri, telah memutuskan nama calon tersebut.

Lim berkata, melalui pilihanraya kecil itu nanti, para pengundi di Machap mempunyai peluang untuk memulakan perubahan di negara ini.

"Ia menjadi tanggungjawab penduduk Machap untuk membawa perubahan. Jika kita mahu kehidupan yang lebih baik, kita mesti mulakannya dari Machap.

"Satu lagi kemenangan untuk Barisan Nasional (BN) tidak membawa apa-apa perbezaan, tetapi satu lagi kekalahan akan menghantar satu mesej yang kuat kepada kerajaan supaya memperbetulkan kesilapannya dan memastikan kebebasan dan peluang yang lebih besar bagi semua rakyat Malaysia," katanya.

Ditanya mengenai desas-desus PAS mungkin meletakkan calon bebas bertanding di Machap, Lim enggan mengulas lanjut kecuali berkata ia hak parti itu untuk berbuat demikian.

"Ia terpulang pada PAS jika mahu meletakkan calon. Saya tidak ada komen. Kita tidak berkomunikasi dengan PAS mengenai Machap. Jika mereka berhasrat untuk meletakkan calon, itu haknya untuk berbuat demikian," katanya.

Semalam, malaysiakini melaporkan PAS Melaka berhasrat untuk meletakkan calon bebas kerana kecewa dengan tindakan DAP memburuk-burukkan parti itu dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina.

Bekerjasama dengan PKR

Sementara itu, Lim berkata, DAP akan bekerjasama rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menghadapi pilihanraya kecil itu.

"Saya akan bertemu dengan Presiden (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas ini untuk membincang dan merangka strategi bersama untuk mendapatkan sokongan maksimum pengundi pelbagai kaum," katanya.

Ketika dihubungi kemudiannya, pembantu sulit Wan Azizah, Elizabeth Wong berkata, pertemuan itu tidak jadi diadakan.

"Kita tidak bertemu. Selepas(Wan Azizah) habis berucap, beliau menghadiri satu lagi mesyuarat dan kami meninggalkan Parlimen.

"Kita hanya menerima sepucuk surat tidak bertarikh dari Lim untuk bertemu dengan Wan Azizah atau wakilnya bagi berbincang mengenai pilihanraya kecil itu," katanya.

Kerusi Machap yang merupakan kubu kuat MCA menjadi kosong selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut, Datuk Poh Ah Tiam, 55, pada 15 Mac lalu.

Difahamkan, bakal calon yang disebut-sebut dipilih mewakili DAP mungkin termasuk pembantu khas Lim Tey Kok Kiew dan ahli jawatankuasa Pemuda DAP, Liou Chen Kuang.

Manakala beberapa nama disebut-sebut akan dipilih oleh MCA untuk bertanding di Machap, termasuk Ngow Dow Soon (pembantu khas Naib Presiden, Datuk Dr Fong Chan Onn), Lai Meng Chong (setiausaha politik Fong) dan Chew Chong Lim (setiausaha sulitnya). Berita asal