Tindakan beberapa ahli Umno merujuk isu salah satu usul yang diluluskan parti itu baru-baru ini ke Jabatan Pedaftaran Pertubuhan (ROS) mendapat pujian Khairy Jamaluddin hari ini.

Bekas ketua Pemuda Umno itu malah menganggap mereka sebagai ahli Umno yang menjadi pemberani dan waras.

"Well done, guys," kata Khairy, "ada yang masih berani dan waras dalam Umno."

Bekas ahli parlimen yang terpaksa meninggalkan kawasan selamatnya di Rembau untuk memberi ruang kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menambah, dia yakin ROS akan mengambil tindakan sewajarnya ekoran aduan yang dikemukakan.

“Saya yakin dengan kredibiliti ROS untuk buat semakan terhadap usul (dikemukakan perwakilan) Rembau di PAU (perhimpunan agung Umno),” katanya menerusi Instastory miliknya hari ini.

Terdahulu, Ahli Umno Terengganu, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir, dan Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom (ahli Umno Negeri Sembilan) hari ini dilaporkan menghantar notis bantahan kepada ROS.

Notis bantahan tersebut dibuat kedua-dua mereka selepas beranggapan usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Umno.

Pada 13 Jan lalu, perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin, mengemukakan usul tambahan dalam PAU 2022 bagi membolehkan jawatan presiden Umno dan timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Usul berkenaan mendapat sokongan daripada Umno Terengganu, Selangor, Perwakilan Wanita dan Pulau Pinang.

Apabila usul berkenaan diundi di hari terakhir persidangan, ia mendapat sokongan majoriti.

Khairy merupakan antara tokoh Umno yang paling menonjol mendesak agar ruang pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden dibuka seperti selalu.

Umno dijadual mengadakan pemilihan sebelum 19 Mei ini.