Rafizi: Jurang kemajuan di Kelantan makin besar jika tiada perubahan
PKR melihat perlunya mereka tangani perubahan pentadbiran di negeri Kelantan bagi memastikan tidak berlaku jurang yang besar antara negeri itu dengan negeri-negeri lain dalam pelbagai aspek.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata walaupun perkara itu tidak perlu diperdebatkan namun ia memberi maksud prestasi sesebuah negeri adalah gambaran kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.
"Saya rasa tak perlu perdebatkan pun, maksudnya prestasi sesebuah negeri baik daripada segi peluang pekerja, baik dari segi sosio-ekonomi, infrastruktur, prestasi itu sudah tentu gambaran kepada kecekapan pentadbiran.
"Kecekapan itu bukan semata-mata bergantung kepada menunggu kepada peruntukan daripada kerajaan persekutuan. Ia bergantung juga kepada visi bagaimana kreatifnya pentadbiran negeri memastikan bahawa ada promosi atau kegiatan ekonomi tertentu boleh dirancakkan,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Menteri ekonomi itu berkata demikian ketika ditanya sama ada pentadbiran PAS yang terlalu lama di Kelantan menjadi faktor wujudnya jurang kemajuan berbanding di negeri-negeri lain.
Ketika berucap di konvesyen tersebut Rafizi antara lain menyentuh soal kadar kemiskinan yang tinggi di Kelantan.
Sementara itu dia berpendapat pengundi-pengundi sedar dengan perkara itu (jurang) tetapi tetap mahu memilih PAS menerajui kerajaan.
"Sebenarnya kalau ada pimpinan atau kerajaan yang lain diberi tanggungjawab, prestasi itu berkemampuan jadi lebih baik. Perkara itu saya rasa diketahui umum.
“Yang kita kena tangani sekarang soal dalam prestasi (kerajaan negeri) begitupun rakyat kelantan masih lagi berpandangan bahawa dengan pilihan-pilihan yang ada ini mereka tetap mengundi PAS.
"Di peringkat PKR yang kita nak buat dengan keadaan begini, apa yang berada dalam kawalan kita supaya perkara ini tidak berulang.
"Kalau perkara ini terus berulang kesannya kepada jurang antara Kelantan dan negeri-negeri lain makin lama makin besar. Negeri lain makin ke depan Kelantan masih lebih kurang begitu juga," jelasnya.
Tambah Rafizi, selepas beberapa pilihan raya perubahan itu tidak berlaku di Kelantan dan salah satu sebab kerana rakyat Kelantan tidak yakin dengan kemampuan parti-parti lain termasuk PKR.
Untuk rekod Kelantan ditadbir PAS sejak 32 tahun lalu, dengan sebahagian besar tempoh itu sebagai negeri pembangkang dan sering menjadi tumpuan dalam aspek kemajuan infrastruktur, masalah air dan banjir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/056374425834943838b99390cf726efd.jpg)
