Kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa pemberian hadiah kepada pengundi merupakan sedekah disifatkan Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub sebagai sesuatu yang tidak menghairankan.

Kata Mustapha, ini kerana Abdul Hadi banyak mengeluarkan ‘fatwa politik’ dengan menggunakan Islam demi mencapai matlamat PAS.

"Fatwanya yang mengkafirkan orang Umno adalah yang paling lama sehingga menimbulkan perpecahan dalam masyrakat, keluarga dan rumah tangga. Semua masih ingat peristiwa solat dua imam. Kahwin berimam orang Umno tidak sah. Sembelihan orang Umno haram.

"Anak dan ibu bapa serta adik beradik putus hubungan kekeluargaan dan berbagai musibah berlaku akibat fatwa Hadi itu.

"Jadinya Veteran tidak pelik atau terkejut dengan pandangan terbaru Hadi tentang rasuah, pemberian dan sedekah," katanya dalam kenyataan.

Kelmarin Abdul Hadi dilapor berkata pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan berikutan ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

The Malaysian Insight (TMI) memetik Ahli Parlimen Marang itu sebagai berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

"Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah terpulang kepada dia,” katanya dalam program Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.

Kenyataan Abdul Hadi itu dibidas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan presiden PAS itu sebagai hipokrit.

"Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah," kata Zahid.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata pengikut Abdul Hadi mempercayai bahawa 'fatwa dan dalil' yang dikeluarkan presiden PAS itu sebagai benar kerana gelarannya sebagai 'tuan guru'.

"Kerana Hadi digelar sebagai tuan guru maka apa yang keluar dari mulutnya semuanya betul dan benar. Mereka tidak nampak keburukan dan kemunafikan Hadi yang telah melakukan kefasikan kepada diri mereka.

"Veteran Umno menyeru Hadi supaya berhenti dari melakukan kerosakan kepada akidah pengikutnya dan bertaubat dengan segera," katanya.

Selain itu Mustapha juga menggesa Abdul Hadi memohon maaf secara terbuka dan menarik balik fatwanya yang pernah mengkafirkan orang Umno.

"Veteran Umno juga menyeru Hadi supaya kembali kepangkal jalan dan berhenti daripada melakukan kemungkaran demi kesejahteraan ummah dan bangsa Melayu," katanya.

Untuk rekod Abdul Hadi pada April 1981 menerusi apa yang disebut sebagai Amanat Haji Hadi pernah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS menentang Umno kerana parti itu mengekalkan perlembagaan penjajah, peraturan kafir dan jahiliah.