Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jururawat, suri rumah mengaku tak bersalah perdagang bayi

Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan pada 2020.

Jururawat Noor Azlina Mohd Nasir, 41, dan suri rumah D Murugamal, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Norashima Khalid.

Noor Azlina yang merupakan jururawat sebuah hospital di Alor Setar, Kedah dan Murugamal yang beralamat di Pulau Pinang didakwa bersama-sama untuk mencapai niat sama memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sembilan hari iaitu sejenis eksploitasi yang menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan letak kenderaan berdekatan sebuah hospital swasta di Manjung, Perak, kira-kira 12 tengah hari, 18 Jun 2020.

Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dihukum dengan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj menawarkan jaminan RM15,000 manakala peguam Mohd Firdaus Mohd Farouk yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah ke atas Noor Azlina yang merupakan ibu kepada lima anak dan Murugamal yang tidak bekerja serta sakit jantung dan kencing manis, atas alasan mereka hadir ke mahkamah mengikut tarikh ditetapkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

-Bernama

Lihat Komen
ADS