Bicara saman berkaitan kematian Beng Hock ditetapkan pada 6 Jun
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 6 Jun ini untuk mendengar merit semakan kehakiman oleh ibu bapa Teoh Beng Hock bagi memaksa polis menyelesaikan siasatan kes kematian anak mereka yang telah berlarutan selama hampir 14 tahun lalu.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi hari ini mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mahkamah menetapkan tarikh pendengaran susulan pengurusan kes saman itu.
Ahmad Hanir adalah daripada Jabatan Peguam Negara, yang mewakili kerajaan dan antara empat responden yang menjadi sasaran semakan kehakiman tersebut.
Tiga responden lain ialah Ketua Polis Negara (tidak dinamakan), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) polis (juga tidak dinamakan), dan Polis Diraja Malaysia.
Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes saman tersebut, berikutan mahkamah sebelum ini pada 16 Jun tahun lalu memberi kebenaran kepada ibu bapa si mati - Teoh Leong Hwee (bapa) dan Teng Shuw Hoi (ibu) - untuk meneruskan semakan kehakiman.
Pada 4 Jan tahun lalu, ibu bapa Beng Hock memfailkan tindakan undang-undang berhubung dakwaan kegagalan pasukan polis menyelesaikan siasatan mereka terhadap kematian pembantu politik itu.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009, di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14.
Pada masa kematiannya, Beng Hock adalah pembantu politik kepada Exco Selangor dan Adun DAP Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah.
Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan bahawa Beng Hock didorong untuk membunuh diri berikutan soal siasat agresif oleh SPRM.
Pada 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan kematiannya disebabkan oleh perbuatan "orang atau mereka yang tidak dikenali", termasuk pegawai SPRM yang menyoalnya semalaman sebelum dia ditemui mati.
Dalam afidavit menyokong permohonan semakan kehakiman itu, Teng antara lain berhujah bahawa polis gagal menyelesaikan siasatan terhadap kematian anaknya, di sebalik keputusan Mahkamah Rayuan 2014.
Dia mendakwa polis gagal menyelesaikan siasatan walaupun selepas perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta bantahan orang ramai.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/11/a39e1108ebf883e475d01bd0fa5d8882.jpg)
