Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KBS anjur program untuk belia tambah kemahiran

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) menganjurkan program Skills For Life bagi memperkasa belia dengan kemahiran tambahan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata program itu akan diadakan pada hujung minggu sepanjang Februari dan Mac ini, menggunakan kaedah Do It Yourself (DIY).

"Program Skills For Life menawarkan latihan kemahiran asas kepada komuniti, khususnya golongan belia B40, M40, belia berisiko dan belia minoriti serta belia yang sudah bekerja berusia maksimum 40 tahun.

"Sebanyak 22 aktiviti dirancang oleh 22 ILKBS terpilih di seluruh Malaysia yang merangkumi antaranya senggaraan elektrik asas, pembaikan asas kenderaan dan penyaman udara, menggunting rambut, penyediaan masakan tradisional, menjahit pakaian dan fotografi telefon pintar," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Skills For Life 2023 di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Hannah berkata belia yang berhasrat mengikuti program itu boleh mendapatkan maklumat berkaitan melalui Facebook KBS dan bayaran dikenakan antara RM10 hingga RM30 untuk setiap kursus diambil.

Beliau berkata pada masa akan datang, KBS merancang menganjurkan latihan kemahiran bahasa kepada belia yang berminat.

"Langkah seterusnya adalah untuk kita bagi belia menguasai bahasa antaranya bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil supaya dapat menambah kemahiran baru sekiranya belia ini menghadiri temu duga untuk dapatkan pekerjaan atau kenaikan pangkat.

"Kita sedang meneroka langkah itu untuk KBS dan kita akan lihat tenaga pengajar juga, kita sebenarnya ada banyak cikgu bahasa yang telah bersara yang nak bagi sumbangan masa mereka untuk mengajar generasi muda," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS