Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata parti itu tidak akan terlibat dengan isu dalaman parti lain, susulan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin Umno semalam.

Loke juga berkata DAP tidak perlu membuat undangan terbuka kepada mereka yang dipecat untuk menyertai parti itu.

"Pertamanya, ini urusan dalaman parti komponen kerajaan, jadi kita tak masuk campur. Saya tak nak ulas berkenaan isu dalaman Umno.

"Kedua, (apa saja) hala tuju Khairy (Jamaluddin), terpulang kepada dialah. Terpulang kepada mereka, mereka pun belum nyatakan hasrat mereka.

"Jadi tak perlu terburu-buru (tentang isu sertai parti dalam PH). Kalau sesiapa ada buat permohonan, parti masing-masing akan mempertimbangkan.

"Saya tak rasa kita perlu buat undangan terbuka. Ia bergantung kepada individu," katanya kepada pemberita hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya jika DAP akan mempertimbangkan untuk menerima Khairy atau pemimpin Umno lain yang dipecat semalam ke dalam parti itu.

Semalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengumumkan pemecatan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan ahli MKT Noh Omar atas sebab melanggar disiplin parti.

Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Sufian Hamdan, bekas ahli parlimen Jempol Salim Sharif dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang digantung selama enam tahun.

Bagaimanapun sebab penggantungan mereka tidak dinyatakan.

Seramai 42 ahli Umno lagi dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata parti dalam kerajaan tidak akan masuk campur dalam urusan dalaman masing-masing, sebaliknya fokus kepada pentadbiran negara.

"Kita teruskan bekerja, sampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Itu fokus kita supaya terus dapat sokongan, termasuk dalam pilihan raya negeri nanti," katanya lagi.