Bekas ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata sudah menjadi perkara biasa bagi jawatankuasa disiplin parti untuk mengambil tindakan terhadap ahli selepas pertimbangan yang teliti.

Veteran Umno itu berkata perkara sama juga berlaku dalam parti lain.

"Saya percaya benda ni sudah pun diteliti dengan cermat oleh pihak yang bertanggungjawab termasuk jawatankuasa disiplin.

"Setiap parti ada disiplin. Seseorang yang tidak ikut tatacara dan cara kerja serta susunan organisasi akan dikenakan disiplin bagi memastikan parti berjalan dengan baik.

"Apatah lagi dalam keadaan sekarang usaha dijalankan untuk menstabilkan keadaan politik," katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata tindakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi adalah munasabah kerana menjadi tanggungjawab pemimpin parti untuk memantau perjalanan parti serta pemimpin lain.

"Ketua parti akan mengawasi perjalanan parti dan tingkah laku pemimpin sama ada yang menjalankan tugas biasa dan ada yang mempunyai minat untuk mencabar jawatan tertentu, sampai ke peringkat tinggi pun.

"Jadi kalau berlaku tindakan seperti yang diumum semalam (kelmarin) tak hairanlah kita. Jika tidak berpuas hati bolehlah buat rayuan. Ini perkara biasa dalam parti politik," katanya.

Tengku Razaleigh berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan tatatertib seperti pemecatan dan penggantungan terhadap sebilangan ahli politik Umno selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada malam Jumaat.

Bekas menteri Khairy Jamaluddin dan Noh Omar dipecat, manakala mereka yang digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan Suffian, bekas ahli parlimen Jempol Salim Sharif dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata parti itu telah bertindak mengikut saranan lembaga disiplin parti.